NISSAN SKYLINE GT-TR R34 GOJIRA

Hierarki main kereta Jepun selalunya berhenti pada kereta ini, Nissan Skyline GT-R R34. Berakhirnya versi asal R34 yang digantikan dengan GT-R35 mewujudkan jarak yang jauh di antara kedua-duanya.

Masa dijual baru dulu, harga R34 hanya separuh berbanding GT-R35 sekarang. Sebab itulah apabila orang dah puas main R34, mereka akan beralih kepada kereta Eropah macam Porsche 911. Sesungguhnya Jepun dah tak ada kereta sports yang sepadan dengan karekter GT-R. Secara teorinya, tiada legasi.

Idea kereta ini menjadikannya ikon bagi kereta sports Jepun. Coupe, 2.6 liter, turbo berkembar, 4WD, hud panjang, GT, simple dengan garis badang yang cukup memukau.

Tubuh yang berketak-ketak dan rekaannya memang tidak membolehkan mana-mana tuner Jepun membuat bodykit asing padanya. Pada saya, rekaan paling sport pastinya versi Nismo V. Setakat ini, semua pembuat bodykit tak dapat mengubah rupa R34 menjadi bentuk yang lain. Nampak lauk lagi ada.

Itu menjadikan GTR idaman semua orang, termasuklah saya. Saya sanggup terjun KLCC kalau siapa kata minat JDM tapi tak ada impian nak beli R34. Apabila kereta ini diperkenalkan pada 1999, tak banyak yang dibawa masuk. Model recond pertamanya sekitar tahun 2000 ada dijual di kawasan kereta terpakai di Sunway dengan harga mencecah hampir setengah juta.

Tetapi apabila versi GTT masuk ke pasaran secara pukal, orang mula beli versi murah dan convert pada GTR. Ada yang setakat main bodykit dan tak kurang juga yang tukar Neo6 pada RB26 lengkap dengan 4WD dan sebagainya.

Half-cut bukan murah. Satu kereta boleh sampai harga sebuah Proton Exora. Tetapi orang masih beli sebab kalau beli sebuah GT-R pun masih tidak mahal jika convert penuh. Sama macam hal orang beli FD standard kemudian convert ke Type-R.

Kereta ini saya jumpa di Pulau Pinang. Pemiliknya bernama Nigel, seorang pengusaha syarikat berasaskan IT. Kereta ini asalnya model GTT yang diubahsuai ringan dengan fokus menjadikan rupanya seakan-akan GT-R.

Nasib baik ia model dengan gear manual. Enjin RB25 Neo diubahsuai ringan dengan pemasangan turbin HKS GT3037, penapis udara HKS, injap blow-off HKS SSQV dan intercooler depan Greddy. Sebuah pam Walbro dipasang bersama penyuntik tambahan Sard 800c untuk memastikan minyaknya cukup, ekzos custom dengan peredam bunyi HKS. Akhir sekali sebuah komputer bypass Greddy Ultimate.

Kotak transmisi asal dikemaskan lagi dengan pelapik klac Ogura Super Single. Walaupun dengan LSD standard 1.5 hala, kereta ini masih mampu dikawal dengan baik. Sebenarnya susah juga nak pandu handle GTT dengan HP tinggi sebab ia masih bergantung pada pacuan roda belakang. Jujur cakap, GT-R dengan sistem 4WD Hicas memang betul-betul bijak membuatkan kurang daya kemahiran diperlukan oleh pemandu.

Komponen yang membantu menyokong pengendalian kereta ini tentunya suspensi yang betul. Suspense standard GT-R memang cukup keras dan mantap, tetapi tinggi. Nigel memasang set suspense boleh laras TEIN dan nyata ia pilihan yang tepat.

Cara lain menyamar jadi GT-R bagi GTT ialah pasang brek Brembo 4 pot di depan dan 2 pot belakang. Walaupun sekarang banyak Brembo cap ayam, Nigel tak nak ambil risiko. Dia beli Brembo yang dijual di kedai potong, dah tentulah original. Ini tidak, rupa saja Brembo, bila brek berterabur. Gila apa brek Brembo ada pad original harga Metal King, nampak sangat menipunya.

Bahagian dalaman kereta ini memang bukan GT-R tanpa MFD skrin di tengah. Cuma ada meter analog. Kemasan yang dibuat adalah menukar tempat duduk hadapan dengan Bride full bucket dan kerusi penumpang Recaro SR3 merah. Nampak lain sikit daripada ruang kabin GT-R. Di tiang sebelah pemandu, tergantung sebuah meter boost APEXi.

Bahagian luar kereta ni seperti yang dijangka, diubah suai menjadi GT-R sepenuhnya. Badan belakangnya dikembangkan, fender depan dibuat semula dengan meniru gaya Nismo V. Kalau ada satu-satunya kereta Jepun yang sesuai dipasang dengan GT Wing maka inilah calonnya. Pilihan Nigel ialah GT Wing Top Secret.

Andai ditakdirkan satu hari nanti saya dapat projek yang besar-besar, nak juga merasa pandu GT-R asli sekali. Memang kereta ini sentuhannya lain macam.

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ