NISSAN BLUEBIRD U11

NISSAN BLUEBIRD U11

Sesungguhnya rekaan Nissan Bluebird U11 memang kemas. Walaupun ideanya ringkas dengan kotak dan garis lurus, ia adalah satu rekaan yang sempurna dari depan ke belakang, dari kini ke kanan. Jalur lurusnya bermula dan habis dengan sekata.

Pada saya, garis badan sangat penting kerana sikit saja lari maka konsep atas kertas tidak akan sama dengan kosep model tanah liat. Apatah lagi kereta sebenar. Apabila sudah lari konsep, maka lahirlah kereta dengan reka bentuk yang entah apa-apa. Jika reka bentuknya barai, suapkanlah apa juga jenis teknologi, kereta tersebut pasti tidak akan laku.

Saya memang suka reka bentuk kereta ini sejak kecil lagi. Pernah juga berangan nak beli Bluebird U11. Kereta ini keluaran tahun 1984. Untuk pengetahuan, inilah Bluebird pertama yang menggunakan enjin pacuan depan. Sejak pertengahan tahun 1980-an, semakin banyak pengeluar mula beralih daripada enjin FR kepada bentangan FF.

Walaupun dengan pacuan hadapan, tidaklah pemiliknya memasukkan enjin YRV. Nissan ada banyak enjin pacuan hadapan. Pemiliknya memilih enjin SR20DET yang memang terbukti berkuasa, laju, racing, alat ganti senang cari dan harga half-cut tidaklah semahal half-cut Kia Carnival. Enjin tersebut datangnya daripada body Nissan Pulsar GtiR yang ikonik itu.

Beberapa pengubahsuaian dilakukan pada enjin. Antaranya turbo AR60, wastegate Turbosmart 38mm, blow-off valve APEXi, plug NGK, injektor Evo 3 dan intercooler Evo 4.

Sistem ekzos dibikin semua dengan menggunakan paip saluran terus bersaiz 3 inci kepada peredam bunyi 5Zigen. Kotak gear manual lima kelajuan dipadankan dengan klac pelumbaan OSGiken. Suspensi asal pula diganti dengan jenis boleh laras daripada TEIN.

Rim TE37 mempunyai saiz yang agak pelik iaitu depan 17X 8.5 dan belakang 17X9.5. Tayarnya pula bersaiz 255/40 di depan dan 275/40 di belakang. Baru nampak ganas. Di celah rim ialah brek 4 pot Toyota Aristo (hadapan) dan di belakangnya GTS33.

Bahagian dalaman nampak moden apabila Recaro SR3 yang coraknya macam Proton Putra itu dipasang. Untuk mendapatkan tema yang senada, fabrik pada panel pintu dipadankan dengan gaya yang sama. Tempat duduk belakang original U11 JDM, sterengnya Momo 4 dan ada meter di konsol tengah.

Papan pemuka Neo VVL yang dipasang juga nampak serasi walaupun ia merupakan satu-satu benda berbentuk bulat untuk kereta empat segi ni. OK. Stereng tu bulat juga.

Bahagian luar nampaknya ada beberapa pembaharuan. Lampu utama yang nampak pelik tu datangnya daripada model Y31, spoiler belakang JDM dan akhir sekali warna Galaxy Grey.

Kalau anda nak main kereta otai, mungkin U11 tak semahal Toyota KE70. Body senang dapat dan harga half-cut enjin Nissan masih lagi logik berbanding enjin Toyota.

 

SPESIFIKASI

 

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ