NILAI KLASIK PROTON SAGA MEGAVALVE

Tun Mahathir ada idea untuk menjadi negara Islam pertama yang mampu hasilkan kereta sendiri. Masa tu zaman tak ada internet dan semua orang baca Utusan Malaysia atau Berita Harian.

Tun Mahathir mengorak langkah dengan mendapat idea untuk melahirkan Proton dan versi kereta pertama Proton Saga. Kereta ini memang ikonik dan telah mengubah lanskap automotif negara. Dari orang tak mampu beli kereta, sistem pembiayaan, harga dan pinjaman telah disusun semula, sehinggalah ke hari ini kesannya orang bayar kereta sampai reput dan mati.

Dari sisi lain, peminat kereta lama sudah ada pilihan kereta pertama Proton Saga. Ia sebenarnya sebuah kereta yang boleh diharap kalau dijaga dengan betul. Benda yang saya setuju ialah masalah karat yang kronik. MMC pun hadap benda yang sama sebab produksi generasi ini ada masalah dengan material anti karat mereka.

Walaupun begitu, kita kena terima realiti satu perkara tentang Saga ialah banyaknya alat ganti dan mudah gila nak jaga. Drive shaft cap ayam kereta ni China buat jual RM50 pun ada. Boleh lah sesak-sesak nak guna dan kalau bengkal di kampung, dia kira nak baiki benda murah je pun.

Lain pula halnya bagi peminat modifikasi yang mabuk mengubah suai kereta ini dengan barang Mitsubishi Fiore – Mahal. Kereta dah pupus di Jepun, hatta pergi sampai Hokkaido sekalipun, Hokkaido ni kira macam Kokdiang lah nun jauh di Utara Jepun barang dah tak ada. Bila tak ada korang paham-paham je lah harga dia macam mana.

Kereta ni milik Zulkifli Amin. Salah seorang daripada satu kelompok kecil di Selatan tanah air yang masih lagi main kereta Proton Saga. Berbeza daripada tradisi Saga yang majoritinya menukar enjin sebagai asas peningkatan kuasa, Zulkifli masih setia merestorasi enjin asal 4G15 generasi kedua yang dikenali dengan nama Megavalve. 12 valve banyak masa zaman 1990-an yang dikira canggih pada masa tu.

Enjin ni masih bergerak cemerlang meskipun meter mileage dah pusing 2 kali. Sejuta kilometer? Tak ada masalah kalau pandai jaga. Sebab macam yang saya cakap tadi, overhaul kit dia ada banyak. Kepala selinder enjin dibuat kerja port dan polish, sebelum dipasangkan dengan sepasang aci sesondol Piper.

Ia masih disuap dengan sistem bahan api karburetor sebagai puncanya. Tak perlu modifikasi ekstravaganza kalau setakat nak restore untuk elak bencana. Benda yang nampak remeh tetapi kerap menyebabkan kereta ni tersadai tepi jalan ialah sistem penyejukannya yang selalu gagal.

Salah satu caranya ialah buang termostat dan gantikan radiator jenis aluminium yang tidak akan pecah bahagian upper partnya. Enjin panas dia terus kasi hos meletop saja.

Untuk menjadikan sebuah Saga nampak senonoh, sudah tentulah kena pasang rim dulu. Rim BBS RS 16 inci ini sangat sesuai untuk kereta olskool mahupun newskool sebab itulah antara rm BBS paling berjaya dalam sejarah.

Rim ini dipadankan dengan tayar 195/60r 16 di segenap sudut. Gaya kosmetik disempurnakan dengan conversion bahagian depan Lancer Fiore C11, sebuah sunroof Nissan dan akhir sekali warna maroon.

Menarik kalau tengok dalamannya yang menerima skema warna sama iaitu maroon. Kalau tengok zaman Saga dalam trim warna satu tema yang saya suka dulu ada warna biru. Masa tu, ayah saya guna Nissan Sunny yang boring tengok dalamannya. Bila nampak Saga ni nampak canggih betul lah. Nak kira apa masa tu saya baru darjah 2.

Poliferasi pengubahsuaian kereta ni berubah ikut peredaran zaman. Cara dan gaya mungkin berbeza, namun nostalgia tak boleh dibeli dengan duit. Dalam tak sedar, model pertama kereta ini sudah lebih 30 tahun umurnya. Model Iswara pun dah boleh dapat status klasik. Hmmm…

Ada benda yang kau kena belajar tentang dunia automotif Malaysia ni.

  1. Masa Proton belajar dengan Mitusbishi adalah detik penting, walaupun Proton belum sempat pandai dia dah tendang Mitsubishi keluar dari rumah.
  2. Proton acah-acah terer buat signal belah kiri kononnya nak jadi macam kereta Continental. Jauh sangat dari matlamat, signal tak melambangkan kereta tu dari mana pun.
  3. Deal dengan Volkswagen yang tak jadi sebab konon tergadai maruah negara. Sibuk nak buat kereta sendiri kesudahannya jadi pembuat kereta syok sendiri.

Kesudahannya Perodua juga yang kaut untung kereta pekak tapi laku. Sapa yang kaya? Toyota juga yang senyum sampai telinga.

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ