MINI kembali menghidupkan warisan ‘GT’ menerusi pengenalan MINI 1998 GT Edition. Mengikut tradisi jenama itu, angka ‘1998’ pada namanya bukanlah merujuk kepada tahun keluaran, sebaliknya kapasiti enjin 1,998cc (2.0 liter) turbo pacuan Cooper C. Jentera ini merupakan model edisi khas keenam daripada lapan siri Icon Drops yang ditawarkan khas untuk pasaran Amerika Syarikat sempena sambutan 25 tahun MINI era BMW.
Walaupun berasaskan Cooper C standard dengan hamburan 161 kuasa kuda, edisi GT ini tidak boleh dipandang ringan. MINI telah ‘mencuri’ beberapa komponen penting daripada rak perkakas John Cooper Works (JCW), termasuk sistem suspensi yang lebih tegar dan set brek performance. Gabungan ini menjadikan pengendalian hatchback cilik ini jauh lebih tajam dan mengujakan untuk mereka yang gilakan pemanduan dinamik.
Sesuai dengan nama GT, gaya luaran jentera ini tampil garang dengan warna Midnight Black Metallic yang dipadankan bersama grafik garisan oren di bahagian bawah badan dan lambang khas GT. Penampilannya dimantapkan lagi dengan kit aerodinamik Gloss Black JCW, rim 17 inci JCW Sprint Spoke, serta perincian kemas pada bahagian kabin seperti tempat duduk JCW Sport Seats dan stereng tiga jejari JCW.
Bagi peminat tegar kereta kompak dan komuniti MINI di Malaysia, penawaran edisi terhad seperti ini pastinya membuatkan ramai ‘gigit jari’. Dengan trend peminat tempatan yang gemar menggabungkan gaya track-ready JCW pada varian standard, konsep yang dibawakan oleh 1998 GT Edition ini secara tak langsung menjadi inspirasi modifikasi paling ngam untuk pemilik MINI Cooper tempatan.
Ditawarkan pada harga AS$36,875 (sekitar RM155k tidak termasuk cukai dan cas penghantaran), MINI 1998 GT Edition mungkin kekal sebagai model eksklusif untuk pasaran AS. Namun, gabungan enjin 2.0L bersama barang goodies JCW ini membuktikan bahawa resepi hatchback ringan berspesifikasi pemandu masih belum pupus dan sentiasa mempunyai tempat di hati kaki kereta.