Tidak seperti sebelumnya, kebanyakan model baru keluaran Honda datang dengan pendekatan yang sangat berbeza dari ritma kebiasaan. Paling ketara rekaan agresif pada keluarga Civic generasi X, yang mungkin tidak kena dengan selera kebanyakan. Yang sedan tak macam sedan. Sementara hatchback, hanya ditawarkan untuk varian tertinggi Type R.
Perbezaan antara keduanya membentuk jurang kepada peminat modifikasi tempatan, untuk menghasilkan sesuatu yang menarik. Dibantu lambakan komponen berprestasi yang semakin banyak, memang lagi meriahlah jadinya. Salah sebuah yang boleh dikongsikan adalah kereta milik Chuan ini, yang sanggup berbelanja besar untuk kepuasan diri.
Penampilan luaran tampak lebih radikal, hasil penggunaan bumper depan Civic FK4 Si serta sepasang fender kustom. Sebagai daya penyeri, sebahagian komponen lain menggunakan aksesori kemasan gentian karbon seperti hood Seibon MR-Style, gril depan Seibon CV-Style, spoiler GT Varis, lip depan, vent udara tambahan, penutup cermin sisi, pemegang pintu, serta diffuser sisi dan belakang. Identiti lampu belakang yang macam sepit ketam telah digantikan dengan lampu LED aftermarket, termasuk penggunaan lampu utama CoPlus J’s Racing.
Bahagian roda menempatkan rim Volk Racing CE28SL dan dipadankan dengan tayar Yokohama Advan Neova AD08R bersaiz 235/40ZR-18. Di sebalik rim tersebut tersemat kuasa hentian yang amat mengujakan, bermula dengan kit AP Racing CP9660 di bahagian depan, serta kit AP Racing CP9450 untuk belakang. Sebagai tambahan, sistem e-brek juga telah dipertingkatkan menerusi padanan kit rekaan Belfe.
Binaan sistem gantungan juga tidak kurang hebatnya. Set suspensi boleh laras Tein Flex Z yang digunakan, kini dihubung terus kepada sistem pelarasan Tein EDFC Active Pro yang sangat maju. Hampir keseluruhan komponen berkaitan juga telah dinaik taraf seperti penggunaan bar anti roll, link penstabil, spacer RCA, kit camber dan toe rekaan Hard Race, pin rigid collar Spoon, serta bar strut dari Cusco.
Sesuai dengan trend semasa, Honda telah mengambil keputusan untuk mengecilkan jumlah isipadu enjin bagi sebahagian besar model keluaran mereka. Satu daripadanya adalah kereta ini yang kini ditawarkan dengan enjin L15B7 VTEC dengan sistem pengecas turbo. Dulu macam tak caya enjin 1500cc ni boleh heret badan Civic. Tapi lepas disumbat pada model CRV dan Accord, baru nampak potensinya yang sebenar.
Walaupun boleh menghasilkan kuasa sekitar 200hp dengan proses talaan, Chuan mahukan lebih dari itu. Tanpa rasa bersalah, unit turbo MHI TD03 asal telah digantikan dengan kit turbo W1 rekaan 27WON Performance. Tak pernah dengor? Sama ler kita. Memastikan prestasinya kekal di tahap optimum, beberapa komponen lain perlu diganti sama. Antaranya penggunaan kit kemasukan udara Mishimoto, intercooler dan paip sambungan Mishimoto, serta injap diverter Forged.
Satu lagi komponen penggalak kuasa yang dipasang adalah kit suntikan water-methanol Snow Performance, yang mampu mengurangkan suhu enjin serta menghalang situasi letusan pra matang. Kuasa cucuhan dibantu pek koil Ignition Projects, manakala pemetaan ECU dibuat menggunakan perisian Hondata FlashPro.
Jangkaan bahagian dalamnya tidak berubah ternyata meleset. Sebaik pintunya dibuka, tersergam sepasang tempat duduk Recaro Sportster yang masih bau kedai. Nak tumpang duduk pun segan. Tambahan aksesori lain meliputi unit stereng gentian karbon, trim suis pintu gentian karbon, tuas pedal shift Savanini, serta penambahan gajet-gajet penting seperti gugusan meter Defi Advance A1, meter PSI Snow Performance, unit kawalan Tein EDFC, serta unit paparan digital CAG.
Istilah kereta baru bukan penghalang kepada peminat modifikasi untuk mencari kepuasan. Penghasilan komponen berprestasi oleh tuner-tuner terkenal, sangat membantu dalam hal ini. Tengoklah sikit hari lagi. Lebih banyak modifikasi menarik bakal disajikan pemiliknya selepas ini…
Spesifikasi
- Nama – Chuan Tan
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic FC1
- Tahun – 2018
- Enjin asal – L15B7 VTEC Turbo
- Modifikasi enjin – Kit turbo W1 27WON Performance, kit kemasukan udara Mishimoto, intercooler & paip sambungan Mishimoto, injap diverter Forged, kit water-methanol Snow Performance, pek koil Ignition Projects, Hondata FlashPro, kit penyejuk minyak & CVT Pentagon, termostat J’s Racing
- Transmisi – CVT
- Ekzos – Downpipe Pentagon, kit ekzos Vibrant Performance
- Luaran – Bumper depan Civic FK4 Si, fender kustom, aksesori gentian karbon – hood Seibon MR-Style, gril depan Seibon CV-Style, spoiler GT Varis, lip depan, vent udara tambahan, penutup cermin sisi, pemegang pintu, diffuser sisi & belakang, lampu belakang LED aftermarket, lampu utama CoPlus J’s Racing, pelindung enjin Exalt Automotive, cermin sisi HydroBlue Exalt Automotive
- Suspensi – Tein Flex Z & Tein EDFC Active Pro
- Brek – AP Racing CP9660 (depan), AP Racing CP9450 (belakang), kit e-brek Belfe
- Rim & Tayar – Volk Racing CE28SL 18-inci & Yokohama Advan Neova AD08R 235/40ZR-18
- Dalaman – Tempat duduk Recaro Sportster, stereng gentian karbon, trim suis pintu gentian karbon, tuas pedal shift Savanini, meter Defi Advance A1, meter PSI Snow Performance, pengawal Tein EDFC, paparan digital CAG
- Bengkel – KM Auto Haus, Pentagon Racing