Peminat JDM kalau bikin Myvi, biasanya akan pilih kit badan Passo atau Boon. Selalu sesangat, sampai Acik sendiri pun pening nak bezakan antara dua. Nampak sama macam yang bulan lepas, rupanya kereta lain. Mungkin sebab itu saja pilihan paling mudah dan cun. Yang membantu menyelamatkan keadaan ini adalah, kreativiti setiap pemilik untuk mewujudkan kelainan.
Bagi yang lebih kental, kit badan Passo Hana ini mungkin boleh dijadikan sandaran. Zaman mula-mula masuk dulu, tak ramai yang minat sebab rupanya yang agak feminin. Lagi pun tak semua komponennya boleh diguna terus. Tapi bila ramai dah berani main, memang bergegor jugaklah harganya.
Seperti generasi terdahulu, model Passo Hana turut memiliki varian yang pelbagai. Ada Hana Basic, Basic Plus, Euro, termasuk versi berkarektor seperti Shinju, Doraemon dan lain-lain. Belum lagi campur varian katalog macam TRD Sportivo dan Modellista. Pendek kata memang meriah jugaklah.
Untuk kereta ini, Encik Rabbit telah menyarungkan kit badan lengkap model Passo Hana Euro. Selalu sangat lepak kat England agaknya. Hampir kesemua komponen utama boleh dipasang terus, kecuali bahagian belakang yang perlu disunatkan. Kenalah potong sket untuk lekatkan lampu belakang tuh. Satu-satunya komponen asing pada kereta ini adalah, unit sunroof Honda Civic EG6 di bahagian bumbung.
Bahagian roda diserikan dengan rim berkaler merah, jenis Volk Racing CE28 Club Racer dengan tayar Toyo Proxes bersaiz 195/50R-16. Sistem gantungan pulak dibantu set suspensi boleh laras RSR Best*i. Manakala kuasa hentian diserahkan kepada kit brek Grippen 4-pot pada bahagian depan.
Persembahan ruang enjin juga agak menarik untuk diteliti. Ingatkan pakai enjin apa, rupanya masih mengekalkan enjin standard asal. Yang menyebabkan ia nampak lain macam adalah penggunaan kaler kontra, selain kaedah mengosongkan dinding enjin dari komponen kurang perlu. Ada yang ditanggalkan, diubah haluan, atau dialih terus dari kedudukan asal. Baru namanya cukur abis!
Keadaan ini ditambah penggunaan penutup kepala silinder yang ditempa khas. Begitu juga dengan beberapa komponen lain seperti ram udara, manifold kemasukan dan rel bahan api. Malah unit ekstraktor DSport yang digunakan juga telah diubahsuai, selari dengan perubahan enjin ini.
Seperti luar, bahagian dalam juga menerima salinan komponen milik Passo Hana Euro. Disebabkan ia sebuah model yang meriangkan terdapat empat kaler yang boleh dipilih sama ada oren, hijau, krim atau coklat gelap seperti ini. Rasanya salin semua sekali, dari dashboard, stereng, pilar, panel pintu dan tempat duduk. Turut kelihatan beberapa keping jajan katalog Passo Hana seperti karpet, tray simpanan barang pada dashboard, panel Modellista versi Crocus Yellow, selain sistem audio Pioneer Carrozzeria.
Dalam acara Malaysia Super KCar Mega Gathering yang berlangsung pada awal Februari lalu, kereta ini telah dinobatkan sebagai pemenang kategori Hana Euro dan persembahan enjin NA terbaik. Tahniah buskur!