MITSUBISHI TRITON EKSTREM

MITSUBISHI TRITON EKSTREM

Untuk melakukan modifikasi sebuah enjin diesel ada satu cara mudah, pergi Sabah. Orang kat sana handal betul buat trak sebegitu siap pergi trek masuk drag.

Eksplorasi terhadap pengubahsuaian enjin diesel Mitsubishi ini memang jarang berlaku. Apabila ia melibatkan sebuah trak pikap Triton dengan rim 20 inci dan turbo TD05H hibrid, jentera ini boleh menjadi material yang cukup bagus untuk dikongsi.

Elyas ialah antara pelopor dalam kelab Triton yang mula menjadikan kenderaan pikap sebagai medan modifikasi lebih rumit. Biasanya, orang akan pasang rim besar, rim JDM atau rim 4X4 yang rare. Paling tidak pun pasang intercooler depan, direndahkan atau mungkin offset terkeluar. Tetapi apa yang dibuat pada pikap ini terlalu berbeza berbanding apa yang biasa kita lihat.

Apabila Elyas beli pikap ini lima tahun lepas, sikit demi sikit penampilannya diubah. Rim ditukar, cab cover dipasang, tukar lampu dan macam-macam lagi. Pada satu hari, dia boring dan mulalah cari peluang untuk buat modifikasi yang lebih serius.

Rupa-rupanya sumber modifikasi Triton dan trak pikap lain banyak datang dari Thailand. Dia pun mula memasang hud depan jenis karbon, tailgate belakang carbon dan cab cover.

Modifikasi menjadi semakin agresif dengan kemasukan spoiler belakang FITT, lampu belakang smoked, lampu depan jenis SSCL, bampar belakang Aeroklas, bumper depan ditambah lips Aeroklas dan grill depan Ralliart.

Rim 18 inci pun ditukar kepada saiz 20 inci. Kalau nak tau, di Thailand, tayar 20 inci lebih murah berbanding tayar 18 inci. Memang pelik bin ajaib bagi orang sini, tapi tidak di Bangkok.

Tayar bersaiz 265/50/20 DeeStone 007 R601 membalut replika VOLK Racing GT-C Face 2 20 x 9JJ dengan Offset +31. Spoke tengahnya diwarnakan dengan tema emas Top Secret.

Dengan rim sebesar ini, sistem suspensi mestilah diganti. Dalam banyak pikap yang pernah saya pandu, Triton ialah pikap yang paling selesa. Bagi mengelakkan pikap ini nampak macam big foot, Elyas menggunakan suspensi jenis boleh laras daripada Amada Xtreme Nitrogen M-Subtank.

Alang-alang naik taraf suspensi, Elyas kemudian memasang reinforcement kit Ultra Racing. Pad brek depan digantikan dengan Bendix Titanium dan belakang Bendix Ceramic (jenis dram).

Puas dengan penampilan, Elyas beralih ke bahagian enjin pulak. Banyak kajian dibuat sebelum ubah suai dibuat. Memasukkan turbo TD05H yang telah dihibridkan oleh Tong turbo adalah cabaran rutin bagi seorang perintis.

Bahagian dalaman enjin tak diusik, tetapi elemen yang bersangkut paut terlibat sebagai alat sokongan. Saya bagi senarai, senang sikit nak faham. Forged Racing Radiator, radiator hos Samco, paip intercooler stainless steel dengan intercooler Blitz Evo 3 pada bampar depan, ET1 High Tech Diesel Glow Plugs, GTX-9 Common-rail Nozzle, SCV Racing Suction Control Valve, Blitz air cleaner dan HKS SSQV-D.

Komputer yang pening-pening lalat sebab mekanisme enjin berubah dibetulkan dengan ECUTEK. Peralatan lain yang ditambah ialah FreePower SP9 Electronic Throttle Controller dan Diesel Water Methanol Injection System Kit. Akhir sekali fuel pump Bosch, regulator dan ekzos paip 2.5 yang muffler Blitz Realize duduk sebelah tepi!

Bahagian dalaman Triton yang biasanya boring dimeriahkan pertama kali dengan sepasang seat Mitsubishi FTO warna biru. Meter tambahan ialah Meter-ID dan Blitz Dual SBC-ID Boost Controller, boost meter SARD, meter water temp SARD dan ECU Shop Monster gauge. Audio pun tidak kalah. Player digantikan dengan pemain Kenwood dan speaker Rockford Fosgate jenis komponen.

Siap. Inilah hasilnya. Amacam?

 

SPESIFIKASI

 

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ