Mitsubishi Tak Berhajat Keluarkan Evo Baharu?

Jika anda peminat Lancer Evolution dan mengharapkan Mitsubishi mengeluarkan model terbaharu untuk siri yang mencetuskan fenomena ini, maaf harapan anda tidak selari dengan perancangan Mitsubishi. Sekurang-kurangnya, masih tiada lagi rancangan untuk mengeluarkan generasi seterusnya untuk Lancer Evo buat masa ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Corp, Takao Kato berkata, pihaknya memberikan keutamaan dan menumpukan usaha pemulihan syarikat terlebih dahulu. Namun begitu, ia berbeza pandangan serta permintaan para pemegang saham ingin melihat plat nama Lancer Evolution kembali menguasai pasaran.

Jika diteliti semula keputusan Mitsubishi untuk tidak memberikan tumpuan terhadap usaha mengembalikan Lancer Evolution bersangkut paut dengan kos pembangunan yang tinggi. Mitsubishi juga dikatakan sedang menumpukan dalam penghasilan kenderaan hybrid dan juga jentera off-road.

Sebagaiman kebanyakan syarikat pengeluar kenderaan yang lain, Mitsubishi juga berhadapan dengan masalah untuk mengukuhkan semula keadaan khususnya ketika pandemik masih lagi melanda sebahagian besar negara di seluruh dunia. Buat masa ini, Mitsubishi menyasarkan tumpuan dan segala usaha terhadap pasaran di negara-negara Asia.
Apa-apa pun, kita tunggu dan lihat.

Sumber : Motor1