MISTERI YAKUZA

Dunia modifikasi wagon tempatan, sebenarnya agak kecil berbanding kereta segmen lain. Tak ramai yang minat, sedangkan potensi yang boleh dipilih banyak jugak. Mungkin kerana imejnya sebagai kereta pasar malam, menyebabkan model peti sejuk seperti MPV lebih disenangi. Alang-alang besar katanya, baik amik terus yang tujuh tempat duduk.

Lompong yang wujud memberi kelebihan kepada penggiat wagon lama seperti Acoi. Lagi-lagi jika model berpotensi seperti Corolla Wagon E102V ini yang dipilih. Banyak komponen aksesori yang boleh disuai padan bagi mencipta penampilan lebih menarik. Memandangkan permintaan semasa yang agak kecil, kebanyakan komponen ini juga masih ditawarkan pada harga yang masuk akal.

Tapi mana datang nama Yakuza nih? Nak kata Acoi dulu bekas Yakuza memang taklah. Dia nak pancung batang pishang pun tak reti. Ia sebenarnya merujuk kepada nama kit badan yang digunakan pada kereta ini. Selain versi Yakuza, Corolla Wagon juga memiliki beberapa pilihan kit badan yang agak menarik. Pernah tengok kit Copel Antiguo? Yang tu lagi pelik!

Kit badan ini boleh dipasang terus tanpa pengubahsuaian. Ia meliputi bahagian bumper depan yang memiliki dua pasang lampu fog dan jeriji jenis billet, termasuk bumper belakang dan skirt sisi. Disertakan juga beberapa komponen tambahan  lain seperti hood gentian karbon Akana, grill depan TRD, penutup cermin sisi berkrom, penutup minyak lutsinar, termasuk bumbung sunroof, tailgate dan lampu belakang BZ Touring.

Keupayaan enjin 4E-FE asal telah dipadamkan menerusi kemasukan enjin 4A-GE Blacktop. Walaupun berstatus NA, teknologi yang digunakan sebenarnya sangat maju berbanding enjin saingan lain. Ada pendikit 4-throttle, 5 injap setiap silinder, sistem pemasaan VVT pada injap kemasukan, serta mampu menghasilkan kuasa sekitar 165hp dalam keadaan standard.

Salinan enjin ini turut disertakan dengan beberapa komponen prestasi yang sesuai. Ia dimulakan dengan penempatan set piston Toda, pada unit crankshaft yang telah diimbang. Bahagian kepala silinder pula menerima kerja-kerja port & polish, termasuk sepasang camshaft 264° juga dari Toda.

 

Bekalan bahan api dibawa oleh pam petrol Walbro, sambil dibantu unit regulator Sard bagi mengawal jumlah tekanan pada rel. Kemasukan udara pula dibawa secara terus, menerusi trumpet velocity stack pada muncung setiap throttle. Baru datang bunyi srot-srot… Letusan kuasa kemudian diperkuatkan dengan kabel pencucuh TRD. Untuk respon lebih cemerlang, pemetaan enjin seterusnya ditala menggunakan unit piggyback GReddy eManage Ultimate.

Bagi sebuah enjin NA, perubahan bahagian ekzos merupakan resepi penting untuk peningkatan kuasa. Hampir keseluruhan sistem telah ditukar, bermula dengan unit ekstraktor 4-2-1 FGK, sebelum diakhiri dengan muffler FGK Power Getter. Tujahan kuasa pula datang dari kotak gear manual 6-kelajuan, yang dilapik set klac dari TRD.

Kedudukan kereta direndahkan dengan set suspensi boleh laras Tein Flex, yang turut dilengkapi unit pengawal Tein EDFC. Tak payah nak cabut bagai, dari dalam kereta pun boleh ejes nak lantun banyak mana. Untuk tujuan keselamatan, komponen brek depan telah digantikan dengan kaliper 4-pot dari TRD. Begitu juga dengan ruang rodanya yang kini menempatkan rim TRD T3 berukuran 15-inci, serta tayar Yokohama Advan Neova AD08R dari saiz 195/55R-15.

Bahagian dalam juga digayakan dengan perkakasan JDM sepenuhnya. Bermula dengan salinan komponen Corolla GT, papan pemuka BZ Touring, selain penggunaan aksesori OEM Toyota seperti meter digital, perehat tangan, lampu pilar, jaring bonet dan lain-lain. Untuk kesan lebih premium, Acoi turut mendapatkan rangkaian komponen keluaran TRD, meliputi bahagian tempat duduk pemandu, stereng, tombol gear, termasuk gugusan meter tambahan.

Kalau tak dimaklumkan, takde sapa menyangka yang Corolla Wagon ini hampir mencecah usia 25 tahun. Adakah kerana Yakuza itu sejenis susuk yang boleh menyembunyikan usia sebenar? Memang misteri sungguh bila cuba difikirkan…