MINI KLASIK ENJIN JEPUN

Cabaran utama dalam industri automotif hari uni adalah persaingan dan peningkatan kos. Berbeza dengan zaman duhulu, kosnya jauh lebih murah. Tetapi proses membuat sebuah kereta memakan masa lebih lama kerana teknologi yang terhad.

Tooling sebagai contoh, benda kedua yang perlu dibuat selepas proses penyelidikan dan pembangunan (R&D). Malah, zaman dahulu pasukan jurutera terpaksa mengambil masa yang cukup lama untuk menghasilkan sebuah model tanah liat dengan tangan, berbanding zaman sekarang yang canggih dan boleh menggunakan kekunci komputer sahaja.

Namun, apa yang ajaibnya kereta zaman dulu tidak pula kelihatan kelakar bentuknya. Maksud saya, kereta seperti Beetle dan MINI yang boleh lagi dilihat oleh anak-anak moden. Sebabnya, mungkin pereka macam Sir Alec Issigonis dan Ferdinand Porsche memang lahir sebagai seorang genius.

MINI adalah satu contoh keajaiban dalam kejuruteraan moden. Ia dianggap sebuah kereta yang mengubah dunia. Dalam dunia moden hari ini, MINI tidak lagi boleh dikeluarkan dengan kos yang sama seperti zaman dulu.

Mungkin ideanya diguna pakai dalam banyak keadaan, tetapi untuk menghasilkan dengan konsep serupa adalah sesuatu yang mustahil. Memang boleh, contohnya Tata Nano yang masih boleh dicipta sebagai kereta rakyat yang murah, tapi ia perlu R&D dan dipasang di India. Kalau dipasang di Jepun, Britain atau Amerika Syarikat, pasti harganya tidak semurah mana.

Bagi mereka yang hendak membeli sebuah kereta kecil yang boleh diharap, kereta tersebut jauh lebih sedap dibawa daripada Perodua Kancil lowered dengan ekzos bising dan bodypart warna lain-lain. Sebelah biru, sebelah hijau, belakang putih, tiba-tiba pula ada pelekat Alagappas, apa kes?

Kalau dulu kereta sebegini hanya dikumpul oleh mereka yang telah menerima wang pencen, sekarang tidak lagi. Budak-budak muda yang ada kesedaran tidak mahu berhutang dengan Perodua pun sudah ramai beralih kepada MINI.

Kereta ini milik seorang jejaka dari Puchong, Selangor. Tubuh kereta itu dihasilkan sekitar tahun 1980-an dan dipasang dengan enjin bersesaran 1,000cc buatan Britain yang memang sudah tidak berbaloi untuk dibaiki.

Kebaikan dunia Mini adalah enjin 1.3 Jepun automatik terpakai yang popular itu. Enjin itu pun tidaklah lama sangat sebab dikeluarkan pada tahun 1990-an. Memasukkan enjin 1.3 ke dalam ruang bonet MINI juga sangat senang. Half-cut dia pun tidak mahal mana.

Baru-baru ini, saya ada tanya satu half cut CKD (sebuah kereta) Mini 1.3 automatik harganya cuma RM6,000. Agak munasabah untuk harga half-cut moden yang mana GSR punya kepala depan pun boleh sampai RM10,000.

Pemilik jentera itu merestorasi sepenuhnya MINI tersebut dengan membuat semula badan kereta. Seperti biasa, mengikis karat dan kuping-kuping yang bertempek pada badan lama.

Kalau hendak dibandingkan dengan kereta Jepun klasik, MINI memang lebih tahan lama dan lasak binaannya. Lantainya masih utuh kalau dibandingkan dengan lantai Toyota KE70. Kerja-kerja restorasi biasanya tertumpu kepada aspek upholsteri dan mengecat yang biasanya dibuat oleh mereka yang pakar tentang MINI.

Jangan sekali-kali hantar pada mekanik sebarangan kerana hasilnya belum tentu boleh buat kereta nampak seperti baharu. Sudah banyak contoh saya tengok jenis nak jimat duit hantar ke kedai bawah pokok yang biasanya kerja dia mengecat teksi. Apa kes cat luar dalam baru RM1,000? Belum sampai tiga bulan, rupa kereta sudah macam perabot jati yang terkopek sana-sini.

Alat-alat ganti under carriage kereta itu diganti baharu semuanya. Ini termasuklah sistem penyerap hentak dan kon getah (model MKII sebelumnya menggunakan hidrolastik).

Tidak banyak benda sebenarnya kalau hendak pulihkan sebuah MINI yang berkarat untuk jadi cantik macam ini. Kosnya pun tidaklah seperti memulihkan sebuah Capella RX3.

Bahagian dalam kereta itu memang agak luar biasa dengan sepasang tempat duduk L5 Avanzato. Papan pemuka dan stereng dengan material kayu walnut itu memang nampak sepadan.

Pemain cakera padat dan sistem audionya menggunakan unit jenama JVC. Apabila saya memandu ujinya buat sementara waktu, kereta itu memang menyeronokkan kerana posisi pemanduannya yang rendah dan cermin hadapannya besar. Tidak rasa lemas macam pandu Kancil. Inilah kejuruteraan namanya.

Baiklah. Saya sedang memikirkan dengan serius kereta sebegini. Sebenarnya dari dulu lagi Mini 1.3 auto ada dalam senarai saya. Harganya yang agak munasabah. Malah, model yang sudah siap semacam ini harganya boleh mencecah berbelas-belas ribu. Dengan nilainya yang tidak pernah jatuh dan senang dijual, macam menarik jugak kalau beli sebuah. Betul tak?

SPESIFIKASI

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ