Model Kompak Berprestasi Tinggi Mercedes Dengan Harga Bermula Dari RM380K

Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi dua model kompak berprestasi tinggi, iaitu Mercedes-AMG A 45 S dan sedan coupe Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ secara dalam talian.

Anda boleh memiliki model-model baharu ini pada harga berikut:
Mercedes-AMG A 35 Edition 1 – RM379,888
Mercedes-AMG A 45 S 4MATIC+ Edition 1 – RM459,888
Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ – RM448,888

Kehadiran jentera berprestasi tinggi ini melengkapkan lagi barisan model kereta pantas AMG setelah pelancaran model AMG aras mula, Mercedes-AMG A 35 Sedan yang dibuat pada tahun lalu.

Jika dilihat dari segi luarannya, A 45 S dan CLA 45 S hadir dengan gayaan agresif yang diserlahkan menerusi gril Panamericana bersama bilah-bilah menegak. Di samping corong pengambilan udara yang besar pada bampar.

Aspek aerodinamik dipertingkatkan dengan penggunaan apron hadapan serta splitter hadapan. Komponen itu berfungsi memastikan aliran udara lebih lancar, sekali gus menambah baik kadar pekali seretan.

Tidak ketinggalan, cermin sisi direka supaya bukan sahaja kelihatan sporty, malah menyumbang kepada aspek aerodinamik.

Jika model standard A 45  dan CLA 45 dipasang dengan rim bersaiz 18 inci, model A 45 S dan CLA 45 S pula dilengkapi rim aloi bersaiz 19 inci berwarna tantalum grey. Ia kemudian dibalut tayar 245/35 R19 dan 255/35 R 19 untuk model sedan coupe.

Anda akan lebih mudah mengecam model S melalui angkup brek enam omboh berwarna merah dengan huruf AMG berwarna hitam. Dari jauh dah tau laju ni..

Kemasan luaran disempurkan lagi dengan dua tip ekzos berkembar berdiameter 90mm. Selain diffuser dan spoiler bumbung (A 45 S) atau spoiler boot untuk CLA 45 S.

Pengeras utama jenetar itu sebenarnya hadir dalam bentuk enjin empat silinder sebaris turbo M139 serba baharu. Harus tahu ia merupakan enjin turbo empat silinder sebaris paling berkuasa di dunia yang dihasilkan untuk produksi massa.

Mercedes-Benz membangunkan enjin M139 berdasarkan falsafah “One Man, One Engine”. Berupaya menjana kuasa sehingga 416hp dan 500Nm yang membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 3.9 saat bagi model hatchback dan 4.0 saat untuk model sedan coupe.

Kuasa itu disalurkan ke sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ menerusi transmisi AMG Speedshift DCT 8G. Nisbah kotak gear itu telah dutala demi menawarkan pecutan serta-merta dalam apa jua julat kelajuan.

Lebih menarik lagi, pemandu boleh mengakses Drift Mode pada A 45 S dan CLA 45 S dengan mengaktifkan mod RACE. Tetapi, pastikan dahulu yang ciri ESP dimatikan dan mod transmisi ditukar kepada manual.

Aspek pengendalian diserahkan kepada sistem suspensi MacPherson untuk gandar hadapan dan sistem suspensi jenis 4-link di belakang.

Sistem penyerap hentak adaptif AMG Ride Control yang menjadi ciri pilihan pula membolehkan pemandu memilih sehingga tiga mod berbeza, bermula pemanduan selesa kepada yang lebih sporty.

Beroperasi secara automatik, sistem tersebut mampu memberi maklum balas kepada setiap pergerakan roda (bergantung kepada mod dan kondisi jalan) dalam masa milisaat sahaja.

Ciri AMG DYNAMIC SELECT pula menawarkan sehingga enam mod pemanduan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan RACE (standard untuk model S) di mana terdapat enam parameter yang boleh diubah seperti:
Trenkuasa – karakteristik pecutan, masa penukaran, karakteristik bunyi
Transmisi – manual atau automatik
AMG DYNAMICS – kawalan pacuan semua roda, karakteristik stereng, ESP. Terdiri daripada Basic (untuk mod Slippery dan Comfort), Advanced (mod Sport), Pro (mod Sport+), Master (mod Race).
Chasis – Comfort, Sport, Sport+

Seperti kebanyakan model-model baharu Mercedes-Benz, ruang kabin model-model itu dilengkapi sistem infotainmen MBUX.

Selain tempat duduk berkontur, upholesteri kulit ARTICO dan mikrofier DINAMICA, kemasan berwarna kuning, stereng AMG Performance dibalut kulit nappa/mikrofier DINAMICA dan petunjuk pukul 12, serta sistem pencahayaan ambien.

Konsol tengah pula dipadang dengan komponen touchpad untuk mengawal sistem MBUX. Terdapat juga butang-butang tambahan untuk mengawal ciri seperti ESP tiga peringkat, mod manual serta fungsi suspensi adaptif AMG RIDE CONTROL.

Sebaik masuk ke dalam kabin, anda akan dapat merasa elemen AMG menguasai segenap ruang ini. Misalnya melalui pedal sport keluli tahan karat, alas lantai AMG, roof liner fabrik hitam dan kemasan keluli tahan karat pada ambang pintu dengan huruf AMG.

Ciri pencatat data AMG TRACK PACE yang menggunakan ciri GPS serta penderia pecutan, giroskop, sudut putaran stereng dan kelajuan roda membolehkan pemandu menganalisa prestasi pemanduan sendiri di litar.
Data-data kemudian boleh dipamerkan pada paparan multimedia, kluster instrumen serta paparan head-up opsyen.

Sistem MBUX Augmented Reality pula membolehkan sistem memaparkan garisan perlumbaan yang ideal untuk setiap litar pada paparan multimedia (atau head-up display). Ia nyata boleh membantu pemandu memperbaiki rekod pusingan dengan bantuan pengajar maya.

Mercedes-Benz Malaysia turut mengambil kesempatan untuk melancarkan sebuah lagi model iaitu A 35 Edition 1.

Hadir dengan talaan kuasa 306hp dan tork 400Nm, jentera tersebut didatangkan dengan pakej Edition 1 yang merangkumi komponen aerodinamik, warna Denim Blue serta kemasan pelekat emas pada bahagian sisi.

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Insta : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
FB : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ