Membahayakan Diri Dan Keselamatan Orang Lain!

Ada harga untuk sesebuah kemajuan. Adakalanya, ia menagih nyawa dan menuntut korban. Namun, tanpa kemajuan dan ciptaan teknologi terkini, hidup manusia akan mengundur ke belakang dan tiada kemajuan untuk bergerak ke hadapan. Seiring dengan kemajuan ini, dunia hiburan khususnya muzik juga kian berkembang pesat. Manusia mencuba pelbagai cara untuk menikmati muzik hampir di mana-mana sahaja sehingga terciptanya, sistem audio dalam kereta dan seterusnya pemain MP3 juga menjadi aplikasi penting yang ada dalam setiap telefon pintar.

Walaupun dilengkapkan dengan sistem audio kereta yang sempurna, ada segolongan yang lebih gemar mendengar muzik menggunakan fon telinga atau kepala (earphone/headphone). Muzik menjadi lebih dekat, mampat tanpa sebarang halangan. Tidak cukup dengan itu, lagu yang didengar pula pada volum maksimum dan membuatkan kebanyakan mereka terpisah dari dunia yang nyata serta dibuaikan dengan alunan muzik yang mengkhayalkan. Adakah ia sesuatu yang sihat?

Tahukah anda, pendedahan terhadap bunyi yang kuat untuk masa yang lama boleh mencederakan dan merosakkan gegendang telinga? Itu dari sudut kesihatan, bagaimana pula dari keselamatan? Mungkin bahayanya tidak berapa disedari sekiranya anda mendengar muzik menggunakan earphone di hadapan komputer sambil membuat kerja atau bersenam di gym tetapi bahaya tetap anda. Sekiranya anda memandu, peratusan untuk mendapat kemalangan adalah sangat tinggi.

Apabila seseorang pemandu menggunakan earphone ketika memandu kereta, kemungkinan anda berhadapan dengan risiko untuk mencetuskan kemalangan dan mengakibatkan kecederaan yang serius. Selain memberi fokus terhadap pemanduan dan mata ditumpukan di atas jalanraya, pemandu juga harus mendengar bunyi bagi mengelak sebarang kecelakaan. Sebagai contoh, anda tidak akan menyedari bunyi tayar dari kereta yang brek secara mengejut atau lori yang memandu laju tetapi gagal dikawal. Keadaan ini boleh dielak sekiranya anda dapat mendengar bunyi bising yang mencurigakan. Kepekaan anda mendengar keadaan sekeliling dapat membantu menghindarkan dari terjadi kemalangan yang dahsyat.

Lebih membimbangkan, berlaku juga situasi di mana kereta tidak memberikan laluan kepada ambulan atau bomba akibat leka mendengar muzik menggunakan earphone. Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan tetapi membahayakan para pesakit yang mungkin memerlukan rawatan dengan segera. Penggunaan earphone dan juga headphone semasa memandu kenderaan membataskan deria pendengaran yang boleh mencetuskan perkara yang lebih buruk berlaku.

Apabila seseorang pemandu dan mungkin juga penunggang motosikal menggunakan earphone, pendengaran mereka terbatas. Mereka tidak boleh mendengar; bunyi hon dari kereta atau motor lain, siren dari kenderaan bomba atau ambulan dan juga polis. Kurangnya kesedaran terhadap batas pendengaran ini akan menjadi punca kemalangan dan mungkin juga mengakibatkan kematian orang yang tidak bersalah.

Jadilah pengguna jalan raya yang bijak. Elak menggunakan earphone dan tumpukan perhatian di atas jalan raya.