Melepasi paras 250,000 unit, Catat Jualan Tertinggi Sejak Penubuhan

Prestasi pengeluaran, jualan bulanan dan tahunan Perodua setakat ini mencapai paras tertinggi pada November apabila syarikat kereta kompak nasional itu bergerak pantas dalam memenuhi setiap permintaan. Dari segi jualan, Perodua menjual 250,795 unit antara Januari dan November tahun ini, melepasi sasaran tahunan keseluruhannya sebanyak 247,800 unit yang diumumkan pada awal tahun dan mencapai jualan tertinggi bagi syarikat tersebut.

“Pencapaian jualan ini adalah seiring dengan pencapaian pengeluaran kami setakat tahun ini, yang berjumlah 258,960 unit. Kami juga berjaya mencapai pengeluaran bulanan tertinggi sejak penubuhan kami iaitu sebanyak 29,149 unit.

“Pencapaian ini memberi makna pada semua peringkat; yang pertama ia menunjukkan keupayaan kami dalam memaksimumkan sumber semasa, baik di Perodua mahupun para pembekal di dalam ekosistem kami.

“Yang kedua ialah melalui pencapaian ini, kami kini menyedari bahawa kami boleh meningkatkan lagi operasi – dalam jualan dan pengeluaran kami tanpa perlu melabur untuk kilang baharu atau mendapatkan kawasan tanah yang luas bagi operasi pembuatan kami,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata.

“Oleh itu, kami akan terus melabur dalam menaik taraf operasi kami sebagai satu kumpulan dengan memberi penekanan kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan kemahiran warga kami. Kami juga akan bekerjasama secara rapat dengan para pembekal dan pengedar kami untuk memastikan operasi mereka mampu memenuhi permintaan dan cabaran-cabaran yang mendatang,” tambah beliau.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, jualan Perodua meningkat sebanyak 50.0% kepada 250,795 daripada 167,250 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas. Peningkatan jualan berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah disebabkan oleh penutupan Covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan antara Jun dan pertengahan Ogos tahun 2021.

Jualan bulanan juga mencatatkan rekod baharu dengan 28,592 unit pada November 2022, iaitu peningkatan 40.9% jika dibandingkan dengan 20,299 unit yang dijual pada November 2021, dan peningkatan 10.6% jika dibandingkan dengan 25,849 unit yang dijual pada Oktober tahun ini.

Tiga model teratas Perodua yang dijual pada November ialah Bezza dengan 8,089 unit, diikuti Myvi dengan 6,624 unit dan Axia dengan 5,812 unit.

“Kami akan meneruskan momentum jualan dan pembuatan kami untuk memastikan semua pelanggan kami yang dihargai menerima kenderaan Perodua mereka dengan lebih cepat serta memastikan mereka yang menempah kenderaan Perodua dalam tempoh masa pengecualian cukai jualan akan mendapatkan kereta mereka sebelum 31 Mac 2023, ” Dato’ Sri Zainal berkata.

Mengenai penetapan semula sasaran baharu tahun ini, Dato’ Sri Zainal sebaliknya berkata syarikat kereta kompak nasional itu akan mengumumkan jumlah sebenar tahunan keseluruhan pada Januari nanti.