Mega Gathering Malaysia Edisi 2 CPURT Event Management Bersama Majlis Daerah Tampin

Hampir 3000 buah kereta telah berhimpun di bawah satu bumbung yang sama, menggemparkan bukan sahaja kawasan sekitar malah dunia sukan permotoran secara khususnya. Diadakan pada 26 November yang lalu, Mega Gathering Malaysia Edisi 2 anjuran CPURT Event Management dengan kerjasama Majlis Daerah Tampir.

Berlangsung di Arena Tampin, penganjuran Mega Gathering Malaysia Edisi 2 ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang bermula pada pukul 10.00 pagi dan berlarutan sehingga pukul 8.00 malam. Program ini turut mendapat sokongan dari Kementerian Pelancongan Negeri Sembilan, The RF Design, VX Garage, Skuad Muda Motorsports, Big Sumo dan juga majalah KarHifi sebagai media rasmi.

Sebagaimana yang dinyatakan awal tadi, pelbagai aktiviti telah disediakan oleh pihak penganjur antaranya seperti autoshow dengan pelbagai kategori seperti Kancil Vs Kancil, Kelisa vs Kelisa dan Viva vs Viva sebagai kategori utama. Manakala kategori yang dipertandingkan pula ialah JDM Look, Mira Look, Open JDM. Selain itu, Kenari vs Kenari, Myvi vs Myvi, Alza vs Alza dan kategori yang dipertandingkan pula Toyota Look dan Daihatsu Look. Pihak penganjur juga menyediakan kategori tambahan untuk Autoshow seperti Open Oldskool JDM, Open Audio JDM dan Open Hello Kitty JDM.

Bagi menghangatkan lagi tapak acara, pihak penganjur turut membuka kategori Audio Utama seperti Open 2 Woofer PA Newbies, 2 Woofer PA Sedan, 2 Woofer PA Hatchback, 4 Woofer PA, 6 Woofer PA yang menawarkan hadiah utama berupa piala untuk pemenang nombor satu sehingga tempat kelima. Manakala segmen Back To Back pula dibuka untuk kategori Open 2 Woofer PA, Open Woofer PA, Open 6 Woofer PA dan menawarkan hadiah berbentuk piala untuk tempat pertama dan kedua.

Namun segmen yang paling dinanti-nantikan pastinya Kelab & Komuniti Teramai yang menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai dan juga piala. Tempat pertama membawa pulang piala dan wang tunai RM3,000, RM2000 untuk tempat kedua, RM1000 untuk tempat ketiga, RM500 dan RM300 untuk tempat keempat dan kelima. Pemenang di tempat keenam sehingga kesepuluh masih membawa pulang hadiah berupa piala. Pihak penganjur juga menyediakan hadiah untuk pilihan penganjur iaitu Kelab Seragam, Kelab Paling Sporting dan Kelab Terawal.

Suasana yang sedia ada meriah dan hangat ini diceriakan pula dengan aktiviti sampingan yang juga telah disediakan oleh pihak penganjur terlebih dahulu. Antaranya sukan rakyat, sesi karaoke, mewarna dan macam-macam lagi. Program yang diadakan sejak awal pagi ini tidak lekang dengan aktiviti serta dibanjiri kehadiran para peserta dan juga para pengunjung yang memeriahkan lagi tapak acara.

Setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada pihak penganjur kerana sekali lagi berjaya menganjurkan program sukan dunia permotoran modifikasi kereta dengan cukup cemerlang. Di kesempatan ini, penganjurnya iaitu Encik Sahul Hamid @ Rahul mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau pun tidak langsung. Nantikan program seterusnya yang bakal diadakan pada bulan Jun 2023 di Pulau Pinang!

Perkongsian :