Roll-Royce Motor Cars menjadi pengeluar automotif pertama di UK yang kembali beroperasi setelah secara rela menutup operasinya dari 23 Mac lalu bagi melindungi para pekerjanya. Kembali beroperasi pada 4 Mei lalu, penyerahan kereta Roll-Royce kepada para pelanggan turut berjalan seperti biasa sejak tempoh lockdown dilonggarkan di UK dan beberapa lokasi lain. Malah, ramai yang memilih untuk mengambil sendiri kunci kereta masing-masing di Goodwood.
Majlis ini dilihat sebagai elemen kelaziman yang kini dijalankan dengan mematuhi langkah-langkah kebersihan dan kesihatan yang ditetapkan. Pelbagai langkah keselamatan diambil di sekitar kawasan Goodwood termasuk kemudahan membasuh tangan, sistem trafik sehala pejalan kaki dan susunan tempat duduk yang diubahsuai di kafeteria serta tempat-tempat awam lain. Para pekerja pula wajib memakai pelitup muka sepanjang masa khususnya ketika berada di bahagian pengeluaran.
Seiring dengan usaha membangunkan barisan kereta terbaik di dunia, Roll-Royce turut berbesar hati untuk terus menghasilkan visor muka dan kit gaun pelindung untuk para petugas barisan hadapan sejak awal-awal penularan wabak pandemik covid-19 ini. Pada awal minggu ini, seorang pemilik telah mengambil sebuah Roll-Royce Wraith baharu berwarna Red Velvet Sparkle.
Majlis penyerahan ini dilakukan dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan serta mengekalkan penjarakan sosial. Semasa lawatannya ke Goodwood, pemilik kereta ini mengambil kesempatan bertemu dengan pekerja-pekerja dari bahagian pengeluaran termasuk bahagian pakar yang bertanggungjawab membina kereta ini dengan menggunakan tangan – kebiasaannya lebih kurang 90 pasang tangan terlibat dalam memasang dan menghasilkan sebuah kereta Roll-Royce.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Roll-Royce Motor Cars, Torsten Müller-Ötvös berkata bahawa pihaknya amat berbesar hati mengalu-alukan kedatangan semula para pelanggan ke Home Of Roll-Royce sejurus sahaja mereka kembali beroperasi. Dalam masa yang sama, mengekalkan tradisi Roll-Royce dan mematuhi norma-norma baharu ketika keadaan kritikal ini. Ia adalah dedikasi terhadap kesedaran dan komitmen yang tinggi dari seluruh keluarga Roll-Royce.
Tambah Torsten lagi, pihaknya bekerja keras untuk terus berhubung dengan para pelanggan sepanjang berlakunya krisis ini. Hakikatnya, ramai memilih untuk datang sendiri dan mengambil kereta masing-masing dalam situasi sekarang sekali gus menunjukkan nilai dan hubungan akrab di antara pelanggan dan juga pihak Roll-Royce selama ini. Namun begitu, Home Of Roll-Royce menerima langkah-langkah keselamatan dan kebersihan komprehensif serta menjadikan ia sebagai norma baru untuk hari-hari mendatang.