Kursus Untuk Pendedahan Awal Kepada Sukan Rally

Kursus Latihan Asas Sukan (KLASS) Rally 2022 telah diadakan selama dua hari iaitu pada 5 dan 6 Mac lalu. Bertempat di Space U8, kursus ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MAM dengan usahasama One Motorsports Club serta Race & Rally Garage. Penganjuran kursus ini adalah inisiatif penganjur dalam memperkenalkan Sukan Rally dan sebagai pendedahan awal kepada mereka yang berminat terhadap sukan ini.

Penganjuran kursus ini dilaksanakan dalam norma baru serta mematuhi SOP bersama ujian RTK yang telah ditetapkan yang membenarkan hanya seramai 30 orang peserta sahaja. Silibus kursus telah dibahagikan kepada dua peringkat. Peringkat pertama, para peserta diberi penerangan secara teori dalam kelas yang melibatkan tugasan sebagai seorang driver, co driver, krew dan pengurusan pasukan dari Tim One Motorsports Club dan Race & Rally Garage selaku pasukan pengelola kursus.

Selain itu, beberapa pelumba berpengalaman telah hadir sebagai fasilitator jemputan. Antaranya seperti lagenda rally negara En. Karamjit Singh, penganjur Malaysian Rally Championship iaitu En. Kurnia Sakor, pemandu arah terkemuka En. Arish Qutb. Diikuti En. Faisal Tuah dan pengarah Teknikal Race & Rally Garage dan juga pemandu rally kebangsaan, En. Mohd Henzee Hamzah.

Pada hari kedua pula, para peserta mengikuti sesi latihan praktikal yang dimulakan dengan penerangan dan pendedahan tentang kereta rally dan demonstrasi rally service. Ini diikuti pula dengan cabaran penukaran tayar kereta rally hasil kerjasama dengan para pelumba Rally Shakedown 2022, diketuai En Roduwan Rashid selaku ketua program kursus KLASS 2022 pada kali ini.

Kursus ini telah mendapat perhatian dengan kehadiran Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan iaitu En. Nor Azli yang hadir bersama Penolong Pengarah En. Mu’azam dari KBS yang sempat membuat lawatan dan diberi peluang merasai sendiri pengalaman sebenar menaiki kereta rally dipandu bersama Roduwan Rashid dan Karamjit Singh dalam sesi ‘Taxi Ride’. Program berakhir pada sebelah petang dengan sesi penyampaian sijil penyertaan beserta hadiah penajaan daripada Gulf Western Oil.

Sumber :
Teks : Raziman sipico & Roduwan Rashid (One Motorsports)
Gambar : Roduwan Rashid (One Motorsports)