Diperkenalkan tahun lepas di Auto Bavaria, kumpulan kedua BMW X5 edisi terhad yang dipasangkan di Malaysia dengan kelengkapan M Performance Parts kini sudah tiba dan hanya dikeluarkan sebanyak 22 unit. BMW X5 edisi terhad ini dijual pada RM480,800 (tidak termasuk insurans, tanpa pendaftaran dan cukai jalan, Semenanjung Malaysia) dan didatangkan dengan hadiah percuma bernilai RM22,000.
Menurut Pengarah Urusan Sime Darby Auto Bavaria, Vi Thim Juan, kepopularitian unit edisi terhad ini disebabkan M Performance Parts yang diinspirasikan oleh motor racing. Ia bukan sahaja menambahkan lagi gaya tetapi dalam masa yang sama, aerodinamik kereta.
Pakej BMW X5 edisi terhad dengan M Performance Parts ini bernilai RM36,600 yang terdiri daripada Gloss Black Front Grille, fiber karbon untuk penutup cermin eksterior kiri dan kanan, rim aloi Star Spoke 748M 20-inci bersama sistem pemantauan tekanan angin (TPMS). Pakej ini juga didatangkan bersama hadiah percuma bernilai RM22,000 seperti beg bimbit mewah, payung BMW, set kulit BMW dengan perlindungan sinar UV, brek pad BMW dan baucer disk brek dan cawan STTOKE Classic boleh guna semula.
Menurut Vi lagi, kumpulan pertama BMW X5 edisi terhad terjual sebanyak 30 unit dalam masa hanya seminggu di Auto Bavaria tahun lepas memandangkan bilangannya sangat terhad, menawarkan penampilan yang lebih lasak dan dinamik bersama produk terbaik dalam kelasnya khususnya dari segi gaya, teknologi, keselesaan dan juga prestasi.
Kepada sesiapa yang berminat, kunjungi Auto Bavaria di seluruh negara hari ini.