Kini, pemilik EV boleh menikmati penyambungan lebih pantas dan mudah dari Singapura hingga ke Thailand menerusi Malaysia dengan kolaborasi di antara Shell Malaysia bersama Porsche Asia Pasifik. Kerjasama ini sekali gus mencatatkan jaringan EV infrastruktur HPC (High-Performance Charging) paling panjang di Asia Tenggara.
Awal tahun lalu, Shell dan Porsche melancarkan stesen pertama Shell Recharge High Performance Charging di Tangkak. Dengan lengkapnya keenam-enam stesen Shell Recharge HPC di Malaysia, mengukuhkan lagi komitmen kedua-dua syarikat untuk mengekalkan ketersambungan di antara ketiga-tiga pasaran; Thailand, Malaysia dan Singapura sekali gus menjadikan ia sebagai perintis nombor satu dalam e-mobiliti untuk rakyat Malaysia.
Keenam-enam stesen ini berada di lokasi paling strategik di sepanjang lebuh raya NSE (North-South Expressway) termasuk Shell Hentian Tangkak Lay-By (South Bound), kawsan rehat Shell Hentian Pagoh (North Bound), Shell Hentian RTC Simpang Pulai (North Bound), Shell Hentian Tapah RSA NSE (South Bound), Shell Hentian Seremban R&R NSE (North Bound) dan Shell Hentian Seremban R&R NSE (South Bound). Kesemua enam stesen Shell Recharge HPC ini berlokasi dalam lingkungan jarak kurang daripada 200-km antara satu sama lain yang membolehkan para pemilik EV untuk mengunjungi destinasi yang mengujakan tanpa perlu takut jarak EV.
Stesen HPC ini dilengkapi dengan pengecas prestasi tinggi 180kW yang dibina dengan dua penyambung pengecasan CCS Type 2. Penyambung pengecasan ini membolehkan kereta dicas sehingga 180kW atau dua kereta dicas serentak sehingga 90kW setiap satu, yang bermaksud mengurangkan waktu menunggu.
Selain itu, aplikasi ParkEasy Shell di Malaysia membolehkan para pengguna EV ‘menempah’ ruang parking HPC sehingga 60 minit lebih awal. Ciri-ciri lain termasuk akses navigasi untuk pelanggan EV yang membantu pemandu mencari parking dalam memastikan keselamatan ketika mengecas. Sementara menunggu kereta dicas, pemandu boleh berehat di Shell dan menikmati pelbagai hidangan lazat yang ditawarkan di Deli2Go atau menggunakan pelbagai kemudahan lain yang disediakan.
Bagi meraikan lengkapnya keenam-enam stesen HPC ini, Shell Malaysia telah bekerjasama dengan Porsche Asia Pacific menjemput pihak media dan juga peminat EV untuk menghadiri sesi demonstrasi bagaimana stragiknya lokasi jaringan Shell Recharge sepanjang lebuh raya North-South Expressway (NSE).