Khas Untuk Pemilik Kereta Bentayga Dan Flying Spur

Perjalanan jauh tidak lagi membosankan khususnya untuk penumpang di bahagian tempat duduk belakang yang terdiri dari kanak-kanak. Bentley telah memperkenalkan skrin headrest (rehat kepala) berukuran 10.1 inci untuk dinikmati oleh penumpang belakang. Tiada lagi alasan untuk ketinggalan rancangan tv kegemaran anda.

Kedua-dua skrin ini boleh ditanggalkan dan pengguna boleh memilih apa-apa menu dengan hanya menggunakan hujung jari. Sekiranya tidak mahu kesan cap jari mengotori skrin, mereka boleh menggunakan perangkat lain seperti telefon pintar dan komputer riba untuk mengawalnya tanpa memerlukan sebarang wayar atau kabel.

Hanya menggunakan Android atau iOS, semua data boleh dihubungkan dan dimainkan ke atas skrin ini dengan menggunakan sambungan WiFi. Pelbagai aplikasi boleh disambungkan seperti Netflix, Disney+, Amazon Prime, Apple TV, dan banyak lagi yang boleh distrim. Jika aplikasi tidak berfungsi, pengguna boleh menggunakan mirror link ke atas skrin Bentley ini.

Slot HDMI juga memberikan fleksibiliti kepada pengguna terutamanya yang berkaitan dengan hiburan. Manakala slot USB pula memberikan pengguna untuk mengecas perangkat elektronik mereka. Walaupun ada slot untuk fon kepala, sistem ini boleh digunakan dengan Bluetooth yang tidak memerlukan sebarang wayar. Kalau penumpang lain tidak keberatan, anda juga boleh mendengarnya menggunakan sistem bunyi kenderaan.

Sumber : Carscoops