Secara jujurnya, Toyota Corolla bukanlah kereta yang paling mengujakan di dunia tetapi peminat hanya mewakili bilangan kecil dalam pasaran kereta-kereta baharu. Kebanyakan pembeli lebih mengutamakan kecekapan bahan api (minyak), boleh dipercayai dan secara praktikalnya tidak menggunakan duit yang banyak. Semua ini ada pada Toyota Corolla.
Sejak 55 tahun yang lalu dengan 12 generasi, Corolla ada sebab untuk meraikan satu lagi kejayaan yang penting dan bermakna apabila sejumlah 50,000,000 telah pun dijual sekali gus menjadikan ia sebagai kereta terlaris sepanjang masa. Jumlah ini jauh meninggalkan Volkswagen Golf yang berusia lapan tahun lebih muda berbanding Corolla dan masih belum mencapai jualan 40 juta. Jualan Toyota ini mengambil kira setiap jenis dan varian termasuk hatchback, sedan, wagon, coupe dan minivan.
Dalam pengumuman baru-baru ini, Toyota mengatakan seunit Corolla terjual dalam setiap 28 saat di lebih 150 negara di seluruh dunia. Kereta yang membawa plat nama ini dikeluarkan di lebih 12 kilang di seluruh dunia. Fakta menarik, Australia merupakan pasaran eksport pertama dengan 15 unit kereta sedan dua pintu dilengkapi dengan enjin 1.1 liter diimport dari Jepun pada November 1966.
Model generasi terkini telah pun berada di pasaran sejak 2018 dan Toyota menambah beberapa lagi barisan baru dengan Apex Edition. Bagaimanapun, versi sporty yang sebenar dijangka tiba di pasaran tidak lama lagi.
Sumber : Motor1 / Toyota