Australia adalah benua terdekat dengan kita yang sudah lama memulakan trend baik pulih kereta Oldskool. Mereka mendahului trend kereta Amerika yang baru-baru ini sahaja nampak meriah. Ketika kita sibuk duk welding sana-sini tampal lantai, di OZ mereka dah siap mekap airbrush dengan lantai bersih.
Proses restorasi mereka juga sangat bertaraf tinggi. Masa pergi Auto Salon di sana, saya punyalah terkejut tengok sebuah 510 coupe yang macam baru keluar kilang. Sampai hari ni saya masih ingat warnanya itu.
Belanja untuk buat kereta lama tidaklah sama macam beli bodypart Myvi. Banyak dan boleh pilih. Kereta oldskool yang popular macam 510, harga lampu belakang kalau jumpa set baru boleh cecah berbelas ribu ringgit kalau korang nak tau.
Saya pernah nampak di lelongan, harga side mirror baru Hakosuka sepasang boleh beli sebuah Kawasaki Ninja RR baharu.
Kalau di custom, dikata tak loyal. Tapi muntah darah juga kalau tengok harga barang-barang oldskool ni. Kalau saya, agak-agak benda tu nampak sama dengan ori, belasah je lah.
Parts biasanya memang lagi mahal daripada kereta. Sebab tu dalam banyak keadaan, kalau nak beli kereta olskool, baik beli 2-3 buah sekali. 1 jadi projek dan 2 lagi kereta donation untuk parts. Lebih ekonomikal.
Toyota KE20?
Kereta ini dulu tak siapa pandang. Tapi bagi sesetengah orang yang berpandangan jauh, kereta coupe memang ada kelasnya tersendiri. Membelanya juga tak susah. Barang-barang kereta ini boleh dibeli tanpa perlu membawa parang sewaktu berurus niaga. Senang kata, harganya masih boleh dengar. Ini tidak, sekali sekali sebut harga stereng rasa nak terajang si penjual.
Kebanyakan kerja yang dibuat pada kereta ni adalah proses restorasi semula. Bukan macam nak repair Kancil baq hang, kereta ini lahir tahun 1974. Saya pun tak lahir lagi.
Bayangkan besi dengan enjin yang dah dekat 50 tahun umurnya macam mana. Restorasi perlu mula dari asas yang biasanya melibatkan lantai dan bahagian bawah badan. Titik penyambung yang berkarat dikimpal semula. Dilapis dengan anti karat supaya boleh hidup untuk 50 tahun lagi.
Kereta ini masih menggunakan enjin asal 3K 1,200cc. Gearnya manual empat kelajuan. Dah cukup untuk teknologi zaman 1970-an dan masih lagi cukup kalau jenis kereta nak tayang kat OMG saja.
Semua barang pakai lusuh diganti baru, sistem penyejukan dan penghidup yang selalunya jadi masalah diselesaikan di peringkat awal lagi. Tidaklah asyik terhendap bawah bonet duk nak pancing minyak gara-gara kereta tak boleh hidup bila ditinggal lama.
Set suspensi kereta ini sama dengan teknologi zamannya. Depan guna topang McPherson Toyota LE spring dia dipotong untuk dapatkan kerendahan setimpal. Bahagian belakang yang guna spring dedaun itu telah diubah suai dengan lowering blok 3.5 inci untuk merendahkan badan kereta.
Rim mempengaruhi 90 peratus rupa kereta. Jadi rim AP Racing 13 inci X6 depan dan 13 X 7 belakang adalah jawapannya. Rim ni dibalut dengan tayar Sime Tyre 175/60r13 depan dan 185/60r13 di belakang.
Cukup gemok dan slammed bila dipadankan dengan ruang kereta yang tak besar mana. Masuk 15 serupa hellaflush agaknya. Brek pula ditingkatkan dengan pam utama daripada Daihatsu K3. Kata pemiliknya, itu dah cukup baik berbanding sistem brek lama.
Bahagian kokpit menepati ciri sebuah kereta otai dengan baunya sekali. Kalau anda minat kereta lama, bau plastik 1970-an memang identikal sangat. Tak terlalu rapi tapi kabin kereta ni memang terjaga.
Badan kereta pula boleh tahan kemas apabila kerja-kerja asas mengimpal badan dan coating dibuat dengan teliti. Bila dah dilayangkan selapis cat baru tak adalah nampak berlekuk sana sini. Warna pun memang stylo olskool hijau cerah solid.
Kereta ni mungkin tak boleh menandingi restorasi level Australia. Tetapi memadai untuk kita sedar bahawa ia memang wujud. Memulihkannya adalah proses yang menjerihkan. Tahap ni pun baru separuh je. Bayangkan jalan 50 peratus lagi.
Sebab tu saya guna Alza.
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ