Kereta Elektrik Vision-S Dari Sony
Sebagaimana yang diketahui, fokus utama Sony ketika ini adalah persediaan untuk melancarkan PlayStation 5. Namun, syarikat ini turut mempunyai projek menarik yang sedang menunggu iaitu kereta elektrik yang dijangka akan berada di atas jalan raya Jepun beberapa bulan dari sekarang.
Menurut laporan Autoblog, kereta konsep elektrik penuh Vision-S telah diperkenalkan oleh Sony pada bulan Januari lalu di CES. Pada ketika itu, Sony menyatakan mereka tidak bercadang untuk menjadikan kereta konsep ini sebagai kenderaan komersial. Terkini, Sony telah mendedahkan hasrat untuk memandu uji kereta Vision-S di atas jalan awam di Jepun menerusi video terbaru yang disiarkan di Youtube.
Mungkin ada yang bertanya, kenapa Sony membina sebuah kereta konsep elektrik? Sony membina kereta konsep elektrik Vision-S ini semata-mata untuk meningkatkan lagi teknologi mengesan (sensing) dan audio mereka. Kini dengan pendedahan video tentang pandu uji yang bakal diadakan tidak lama lagi, mungkin Sony mengubah fikiran dan tidak mahu mensia-siakan kereta ini untuk kekal sebagai sebuah kereta prototaip.
Bagi makluman, Vision-S ini dikatakan berkemampuan mempunyai kelajuan 149mph dengan 0-62mph dalam masa 4.8 saat dan menggunakan dwi-motor, 268 kuasa kuda di bahagian depan dan belakang. Beberapa komen di video yang disiarkan di Youtube ini mengatakan ia kelihatan lebih bagus berbanding Tesla sekaligus memberi semangat kepada mereka yang bekerja keras untuk projek ini lebih bersemangat.
Sumber : PCMag.com
Disediakan Oleh : Shai Zahar