KEN SERIES

Bila bercerita tentang model Civic EG, kita tentu akan bayangkan sebuah kereta sport kompak dua pintu keluaran Honda yang cukup cantik, walau dari sudut mana pun ia dipandang. Biarpun sudah berusia puluhan tahun, ia tetap menjadi pilihan di kalangan kaki bikin untuk kegunaan trek mahupun jalanan.

Ken antara yang masih menyimpan model kanjo ini sebagai jentera mainannya. Memilih setup ala street tuner, ia menitikberatkan soal fungsi berbanding salinan JDM kebanyakan. Senang citer apa yang dipasang bukan suka-suka, sebaliknya mempunyai tugas dan tujuan tertentu.

Bahagian luar kelihatan cukup garang hasil pemasangan lip depan gentian karbon dengan unit splitter kustom yang direka menggunakan kepingan aluminium. Bahagian skirt sisi pula dibentuk dari kepingan zink, mengikut rekaan tuner USDM. Selain itu, beberapa komponen lain turut dipasang seperti lampu depan projektor, cermin sisi dan spoiler gentian karbon Spoon, juga penggunaan fender Chargespeed yang lebih lebar.

Civic EG sememangnya sebuah kereta yang pantas dan lincah. Sebagai sebuah kereta berstatus kanjo, sistem gantungan telah dipadankan dengan set suspensi boleh laras Racing Gear JTC N1 yang lebih tegar. Turut membantu, beberapa komponen tambahan yang lain seperti kit camber Hardrace, bar subframe dan lengan bawah Function 7, bar strut FET Sports, serta bar fender JSpeed.

Sudut hentian dinaik taraf menggunakan komponen brek Civic EK9 di bahagian depan dan brek Integra DC5 untuk belakang. Memenuhi ruang roda adalah rim Zero One Racing berukuran 15-inci, yang dibalut pada tayar Toyo Proxes R888R dari saiz 225/50ZR-15.

Bahagian dalaman menerima salinan penuh komponen milik Civic EG6 94 Spec yang lebih gelap. Ini diikuti pemasangan tempat duduk Bride Zeta 3 dan harness Takata di bahagian pemandu, stereng Nardi Torino, kit stereng NRG, tuas gear KTuned, serta set roll cage Cusco. Bagi bantuan pemantauan, hanya unit RSM Apexi digunakan untuk tujuan ini.

Seperti yang semua sedia maklum, Civic EG merupakan antara platform paling popular untuk diperangkan. Penggunaan enjin B Series sudah menjadi kebiasaan, begitu juga dengan setup turbo gantung. Jika kelainan yang ingin dicari, penggunaan enjin K-Series seperti kereta ini boleh dijadikan sandaran.

Ken bertindak untuk tidak mengubah enjin ini sewenangnya. Buat masa ini, ia hanya dibina semula untuk memastikan prestasi di tahap terbaik. Sebelum dibenar masuk, liang-liang utama pada kepala silinder telah melalui proses port & polish bagi melancarkan lagi aliran keluar-masuk.

Tekanan dalam manifold kemasukan juga penting bagi mendapatkan kuasa yang setimpal. Untuk itu, ia telah digantikan dengan manifold kemasukan Skunk2 Pro Series yang lebih efisyen. Suapan udara pula diterima dari penapis udara K&N dan dihubungkan ke unit throttle body Super90.

Bekalan petrol perlu dihantar ke unit regulator Sard, sebelum dilencongkan ke rel bahan api AEM. Pada rel jenis deadhead ini, tersangkut 4 unit injektor OEM berkapasiti 310cc. Memastikan perjalanan enjin sentiasa pada tahap optimum, ia kini ditala sepenuhnya menggunakan unit ECU Hondata K-Pro.

Jadi berapa jumlah kuasa yang Ken dapat? Katanya sekitar 235hp pada roda depan dengan tork sekuat 22.88kg-m. Untuk sebuah enjin NA yang sihat, angka ini sememangnya cukup memberangsangkan.