Gerik Megatrail 2025 kembali buat kali keenam dengan gabungan aktiviti sukan off-road, kembara rimba dan perkhemahan yang berlangsung meriah di kawasan banjaran sekitar Hulu Perak. Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini berjaya menghimpunkan para peserta yang terdiri daripada rider dan driver dari seluruh pelusuh negara. Bukan sekadar acara permotoran biasa, tetapi turut menjadi medan mengeratkan silaturahim antara peminat 4×4.
Pelepasan rasmi telah diadakan di Lapangan Terbang Gerik, Perak dan dirasmikan oleh YB Dato’ Salbiah Mohamed pada 10 Mei 2025. Lebih 180 jentera pacuan empat roda mengambil bahagian dalam acara ini, membuktikan sambutan hangat dan minat mendalam dalam kalangan komuniti 4×4 terhadap aktiviti mencabar sebegini.
Kuala Kangsar Royal Town 4×4 Club dan PERAK 4WD turut memainkan peranan aktif dalam penganjuran tahun ini dengan menghantar lebih 40 jentera sebagai tanda sokongan. Bersama ratusan jentera lain, mereka menyusuri laluan off-road yang ditetapkan, ditemani oleh pasukan marshal dan track guide yang berpengalaman untuk memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan.
Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan, masing-masing mengikut laluan pandu arah tersendiri. Aktiviti sepanjang program ini bukan sahaja menguji ketahanan jentera dan kemahiran pemandu, tetapi juga mengukuhkan semangat berpasukan serta mencipta memori indah di tengah belantara yang mempesona.
Program seperti ini menjadi platform terbaik untuk mempererat hubungan antara ahli kelab dan mewujudkan jaringan persahabatan baharu sesama peminat dunia off-road. Sepanjang kembara, peserta menikmati keindahan alam semula jadi sambil berdepan cabaran sebenar di laluan berbukit, berlumpur dan mencabar kecekapan setiap jentera.
Kuala Kangsar Royal Town 4×4 Club dan PERAK 4WD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur Gerik Megatrail 6.0, pasukan marshal, track guide serta semua agensi yang terlibat. Sokongan terhadap acara sebegini akan terus diberikan kerana ia bukan sahaja menyemarakkan semangat permotoran sihat, malah memupuk perpaduan dan semangat kental dalam komuniti 4×4. Sampai jumpa di acara akan datang!