Baru-baru ini, Kia telah mendedahkan gambar rasmi pertama Ray yang telah dikemaskini. Sebuah kenderaan urban yang diperkenalkan sejak tahun 2011. Sebagaimana model terdahulu, Kia Ray 2023 kekal eksklusif untuk pasaran Korea!
Bagi makluman, Kia Ray diperkenalkan pada tahun 2011 dan menerima perubahan pada penampilannya sekitar tahun 2017 sebelum dikemaskini secara komprehensif untuk model tahun 2023. Kereta yang kelihatan seperti sebuah minivan mini ini berkongsi underpinning dengan beberapa model dari Hyundai-Kia termasuk Kia Picanto, Hyundai i10 dan Hyundai Casper.
Perubahan lebih difokuskan terhadap bahagian eksterior, di mana menggunakan rekaan terbaharu Kia. Tumpuan menjurus kepada rekaan bahagian hadapan dengan kedudukan LED secara vertikal. Bampar bahagian depan pula tampil lebih bersih dengan pembukaan tunggal dan plat gaya aluminium. Kemungkinan besar sebuah varian elektrik penuh.
Penampilan profilnya hampir sama dengan Ray sedia ada kecuali rimnya baharu. Tidak banyak yang boleh dilihat menerusi gambar terhad tetapi Kia mungkin mengekalkan pintu slaid di tempat duduk penumpang belakang.
Perubahan sangat terhad di bahagian belakang dengan tail light LED baharu disambungkan menerusi tailgate dengan rekaan baharu. Bampar belakang tampil lebih moden dengan elemen gaya diffuser dan reflektor kecil.
Di bahagian dalam, satu-satunya yang membezakan Ray baharu ini berbanding sebelumnya adalah kluster instrumen digital dan elemen trim yang lebih gelap. Selebihnya, semuanya kelihatan seperti yang sebelumnya. Selain itu, tiada spesifikasi yang dikongsikan. Mungkin beberapa minggu akan datang, semuanya akan didedahkan?
Sumber : Carscoops