Keadaan Bertambah Buruk Jika Perniagaan Tidak Dibenarkan Beroperasi


Banyak pengedar kenderaan khususnya pengedar kecil berdepan dengan masalah menutup perniagaan sekiranya operasi tidak dibenarkan dalam masa terdekat. Berkongsi dengan Berita Harian, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata, pelbagai aduan diterima pihaknya yang mengatakan bahawa mereka tidak lagi mampu bertahan terutamanya dari segi aliran tunai.

Keadaan ini jika berterusan, tidak mustahil banyak pengedar akan menutup perniagaan sekaligus memberhentikan ramai pekerja. Masalah ini bukan sahaja dihadapi oleh pengedar kecil, malah turut memberikan impak serta menjejaskan pendapatan pengedar besar yang dijangka hanya boleh bertahan sehingga Oktober ini.

Masalah yang sama turut dihadapi oleh para pengedar motosikal serta perniagaan yang menjual komponen serta alat ganti kereta.

Menurut beliau lagi, pihaknya beberapa kali merayu kepada kerajaan serta menyuarakan kepentingan untuk membenarkan operasi pemasangan dan jualan diteruskan dengan prosedur yang lebih ketat walaupun hanya sebanyak 60%, sudah cukup memadai.

Walaupun bilangan kes positif covid-19 tidak menentu, adakalanya meningkat dan adakalanya menurun, diharapkan keadaan akan lebih baik untuk seluruh rakyat Malaysia bagi memastikan keberterusan hidup dari segi ekonomi.

Sumber : Berita Harian