KANCIL TURBO – PALING LAJU ATAS TREK

Berlumba dengan kereta Kei bukanlah satu yang pelik di Jepun. Di sana, pelbagai jenis perlumbaan diwujudkan untuk genre kereta yang paling popular di negara itu.

Drag, gymkhana, time attack semuanya ada. Lagi meriah sebab di sana ada macam-macam jenis kereta Kei untuk dijadikan kereta lumba. Semua pengeluar kereta utama di Jepun ada model Kei yang tersendiri, termasuklah Honda dan Subaru.

Kita hanya berpeluang merasa satu jenis kereta keicar buatan Perodua yang menggunakan casis Daihatsu Mira sebagai asasnya.

Bermula dengan model Kancil pada pertengahan tahun 1990-an, Perodua kemudian menawarkan model Kelisa, Kenari dan Viva yang mendapat sambutan yang cukup menggalakkan oleh pengguna tempatan.

Antara kelebihan casis Daihatsu, terdapat banyak pilihan enjin dan aksesori yang boleh disumbat ke mana-mana model Perodua tanpa perlu pening kepala. Walaupun Kelisa dan Viva boleh dianggap jauh lebih baik berbanding Kancil dari segi saiz dan teknologi, Kancil masih popular sebagai asas modifikasi.

Kalau nak bina kereta drag yang baik, selain dari enjin berkuasa tinggi, casis pula perlulah ringan. Dalam dunia perlumbaan drag, kereta yang paling popular ialah Lancer Evo, Nissan Skyline atau Toyota Supra. Tetapi jangan lupa, kereta-kereta drag kecil macam ni tidak kurang hebatnya.

Kancil berwarna biru muda ini dimiliki oleh Lan. Hidup kereta ini sebenarnya berkisar di atas litar lumba sahaja. Kereta ini masih didaftar dengan JPJ dengan cukai jalan yang sah.

Haaa… Anda mungkin tak tau yang Kancil 4 pintu boleh diubah suai jadi 2 pintu dengan menggabungkan panel asal Mira dua pintu kepada casis Kancil. Kerja ini memang agak rumit kerana melibatkan banyak kerja-kerja pemotongan dan pematerian.

Ia perlu dibuat dengan sempurna. Kalau tak, memang hancur body kereta! Satu lagi kelebihan projek macam ni ialah dari segi berat. Dengan menghilangkan dua pintu belakang, berat kereta mampu dikurangkan beberapa kilo lagi.

Untuk keselamatan tambahan, Lan memasang roll-cage buatan custom. Tempat duduk pemandu diganti dengan tempat duduk bucket perlumbaan penuh, lengkap bersama tali ponggang keledar keselamatan perlumbaan daripada Sabelt.

Enjin ini menggabungkan komponen enjin banyak model kereta. Sebagai permulaan, blok enjin 850cc asal digunakan sebagai asas modifikasi. Blok enjin itu kemudian diceraikan dan dilakukan kerja rebore dengan memasukkan piston daripada Suzuki.

Conrod piston diubah suai daripada conrod enjin Toyota 4AGE yang bersambung dengan crankshaft asal enjin 850cc yang diimbang dan diringankan. Kepala silinder enjin diambik daripada enjin Mira Turbo L200 yang mempunyai 12 injap.

Intake manifold dibina secara custom dengan throttle body oversized. Semua paip intercooler diperbuat daripada bahan keluli tahan karat yang ditempa secara custom. Ia bersambung dengan turbo TD05 yang diubah suai daripada enjin Evo III dan intercooler front mount OEM Evo III.

Injap blow-off GReddy Type-RZ kemudian dipasang pada paip intercooler. Untuk melaras tahap tekanan petrol ke enjin, pelaras bahan api Tomei digunakan.

Kancil ini menggunakan manifold turbo custom buatan Tonkka yang bersambung dengan paip ekzos saluran terus bersaiz 2.5 inci.

Lan hanya menggunakan ECU piggyback A’PEXi SAFC II je untuk menala enjin ini. Dia nampaknya berani menaikkan tahap boost enjin kepada 2.2bar dengan kuasa kuda enjin melebihi dari yang sepatutnya! Untuk membuang speed cut, alat RSM A’PEXi digunakan.

 

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear Charade DeTomaso (G202) yang direka untuk enjin 1,600cc. Bagi mendapatkan nisbah gear yang sesuai, kotak gear dicampur dengan gear Perodua Kelisa. Kedua-dua driveshaft untuk kotak gear diubah suai daripada driveshaft Mazda BPT (B8).

Penyerap hentak GAB digunakan bagi menstabilkan kereta bila memecut di atas trek. Tayar semi-slick ATR bersaiz 165/50/15 digunakan untuk membalut semua rim Black Racing Pro N1 bersaiz 15 inci.

Kancil ini menggunakan brek Mira L500 untuk roda hadapan dan brek gelendong di belakang.

Akhir sekali, ruang kabin kereta dipasang dengan meter-meter tambahan jenama Defi. Stereng Sparco jenis deep dish menyudahkan penambahan aksesori perlumbaan untuk Kancil unik ni.

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ