Kamikaze… Banzai!

Semuanya Diredah, Kalau Brek Kuat Pun Sebab Kejelitaan Seorang Perempuan…

Sebagai pengeluar kereta ternama di dunia, Honda sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai langkah bagi memastikan setiap model yang dihasilkan menepati citarasa pengikutnya. Kenapa disebut pengikut tetapi bukan penggunanya? Kebanyakkan mereka yang sudah terbiasa dengan model ini, jarang mengubah kehendak mereka.

Ramai je yang setia dengan satu produk disebabkan sudah sebati dengan apa yang mereka dah pernah rasa. Bukan cakap jenama Honda sahaja, model-model lain pun sama. Akan tetapi, disebabkan Honda sentiasa menghasilkan sesebuah jentera yang sentiasa mengikut peredaran masa, ianya selalu dapat menarik perhatian ramai di luar sana.

Walaupun model-model yang dihasilkan telah lama berkhidmat di atas jalan, ramai memilih untuk menaik taraf atau membaik pulih sesebuah model itu untuk menjadi lebih baik berbanding yang asal. Lihat sahaja Civic EK4 ini, pemiliknya telah melakukan satu transformasi yang memang luar biasa.

Jika diamati, anda sendiri tak mampu nak mengetahui samada model ini adalah asli Type R ataupun tidak. Ramai yang menyangka ini adalah Civic EK9 Type R yang original sedangkan bukan. Bayangkan, betapa hebatnya hasil kerja tangan dari G-Jan Garage yang telah banyak melahirkan jentera-jentera berprestasi di atas jalan raya.

Honda Civic EK4 ini telah mendapat sumpahan EK9 secara keseluruhannya. Lihat sahaja rupa parasnya, belum lagi ke bahagian enjinnya. Memang luar biasa. Ini adalah pujian ikhlas, bukan iklan berbayar. Nadi K20 yang telah dipasangkan pada jentera ini telah mendapat banyak naik taraf berprestasi. Namun yang hanya diberitahu adalah penggunaan intake Skunk2 Ultra, throttle body S90 dan juga fuel rail dari KTuned. Tapi kita boleh lihat sendiri pada gambar apa yang telah digunakan untuk jentera ini.

Kuasa dari enjin dihantar terus dengan cekap ke bahagian roda oleh kotak gear DC5 Type R yang dilengkapi dengan klac berprestasi Ogura. Tambah lagi, ecu yang digunakan pula dari Link G4+ yang mampu memberi talaan lebih sempurna pada keseluruhan enjin.

Bagi tahap kestabilan yang lebih mantap ketika pacuan di atas jalan, jentera ini dipadankan dengan sistem suspensi boleh aras Tein Type Flex. Kekuatan cesi badannya pula diperhebatkan lagi dengan pemasangan traction bar KTuned serta lower arm dari Function 7. Sistem brek dinaik taraf dengan penggunaan kaliper dari AP Racing di bahagian depan.

Seperti yang dapat dilihat, ruang dalaman jentera ini telah mendapat salinan dari model EK9. Meter paparan utama S2000 dipasang kemas pada bahagian papan pemuka. Stereng Spoon dipadankan pula dengan tombol gear titanium juga dari jenama sama yang melekat erat pada ‘billet shifter’ rekaan Ktuned.

Dengan layangan warna putih pada keseluruhan badan jentera ini, penampilannya tampak lebih menyerlah dengan padanan hood depan, spoiler belakang dan juga cermin sisi dari Spoon. Tidak cukup dengan itu, rim Volk Racing CE28N berukuran 16 inci bersama-sama tayar Yokohama Advan Neova AD08R kelihatan tegap di keempat-empat penjuru jentera ini.

Proses untuk menjadi seperti ini mungkin memakan masa, namun dengan hati yang cekal, pemiliknya sangat berpuas hati dengan apa yang telah dia miliki hari ini!

Spesifikasi
Kereta : Honda EK4 hatchback
Modifikasi Enjin : K20A R, Skunk2 Ultra intake, 72mm S90 throttle body, KTuned fuel rail
Transmisi / Gearbox : DC5 TYPE R, Ogura Clutch Racing
Elektronik / ECU : Link G4+
Suspensi dan Cesi : Adjustable Tein Type FLEX, KTuned traction bar, Function 7 rear lower arm
Brek : AP Racing 300mm 2 piece
Roda dan Tayar : Rim VOLK Racing CE28N 16Inch, Yokohama Advan Neova AD08R
Dalaman : Meter cluster S2000, Defi, Spoon steering, Spoon Titanium gear knob, KTuned billet shifter,
Luaran : Spoon hood, Spoon spoiler, Spoon side mirror
Bengkel dan Tuner : G-Jan Garage
Pemilik : Mohd Aliff