Kambing Masuk Kereta, Sondol Sheriff Sampai Jatuh!

Beberapa minggu lalu pernah tular video seorang runner menghantar barang diserang dan dipatuk angsa, kejadian hampir serupa terjadi baru-baru ini tetapi kali ini bukan di Malaysia. Haiwan yang menyerang pula bukan angsa tetapi seekor kambing yang mungkin sedang kelaparan.

Menerusi akaun Facebook Douglas County Sheriff Office yang berkongsi video tentang kejadian seorang anggota yang terpaksa berhadapan dengan kejadian yang langsung tidak diduga. Menurut akaun itu, anggota yang bertugas menyerahkan beberapa dokumen kepada penduduk dan ia bukan sesuatu yang pelik.

Anggota tersebut terkejut apabila sebaik sahaja kembali ke kereta, beliau mendapati seekor kambing sedang mengunyah beberapa helai dokumen yang ditinggalkan. Beliau terpaksa membuka pintu di bahagian penumpang dan cuba mengusir kambing itu keluar

Malangnya, kambing tersebut tidak berminat untuk keluar dan terus mengunyah dokumen-dokumen yang ada dalam kereta. Beliau cuba sekali lagi dengan menarik dokumen-dokumen yang terselamat dan menolak kambing itu keluar. Nasibnya kurang baik apabila kambing tersebut naik berang dan menyondol beliau sehingga terjatuh ke tanah. Berita baiknya, beliau tidak tercedera dan masih mampu berseloroh tentang kejadian itu.

Sumber : Carscoops