Kalau keluaran sebelum ini kita dapat melihat sebuah jentera Toyota AE111 untuk paparan utama MKK, namun kali ini kita tampilkan sebuah lagi jentera dari keluarga tersebut tetapi dari model yang berlainan. AE101 nama diberi serta memiliki kelainan berbanding yang lainnya. Rekaan jentera ini rasanya tampak lebih cantik dan memiliki ‘style’ yang lebih menarik perhatian.
Dengan paras rupa yang ada, ditambah pula dengan mesin kuasa yang hebat, tidak hairanlah jentera ini bakal menjadi salah satu model kesukaan saya. Mungkin banyak sahaja yang ada di atas jalan raya, namun yang dipaparkan pada kali ini juga nampaknya yang mampu memikat pandangan.
Nadi yang berselindung di sebalik hood hadapan pastilah enjin popular bagi model-model seperti ini iaitu 4AGE Blacktop. Keseluruhan enjin diimbangi semula dan dirombak dengan begitu teliti oleh pomen yang bertanggungjawab. Kepala silinder enjin ini telah menjalani proses ‘port n polish’ untuk penjanaan yang lebih baik. Pam bahan api Walbro dan pelaras dari jenama Sard akan memastikan petrol yang dihantar ke bahagian enjin sampai dengan sempurna dan pantas. Sistem ekzos dari Apexi yang digunakan bertanggungjawab untuk membuang segala gas beracun yang terhasil dari ruangan pembakaran ke bahagian luar.
Unit ECU Link G4 dipadankan untuk memastikan talaan enjin menjadi lebih baik berbanding sistem elektronik yang asal. Kotak gear 6 kelajuan jentera ini kemudiannya dipasangkan dengan klac Exedy Racing untuk memastikan kuasa dari enjin dapat dihantar ke bahagian roda dengan lebih pantas dan sempurna.
Set suspensi boleh laras GAB dipertanggungjawabkan untuk menampung beban serta memastikan kedudukan jentera boleh diubah mengikut kesesuaian yang diperlukan. Selesa mungkin kurang tetapi untuk prestasi pasti tidak diragui keberkesanannya. Untuk kuasa pemberhentian, jentera ini hanya menggunakan kaliper brek 2 pot serta piring rotor yang diubah suai untuk mendapatkan kadar cengkaman lebih baik.
Ruang dalaman jentera ini dipasangkan dengan papan pemuka BZR serta padanan tempat duduk semi-bucket Recaro SR4 Tomcat beserta deretan meter Defi untuk memantau perjalanan enjin.
Penampilan luar jentera ini menjadi lebih menarik dengan penggunaan beberapa aksesori dan peralatan aftermarket antaranya lampu utama ‘smoke crystal’, bumper depan FX, lampu kabus dari model FX, grill Tourine Wagon, skup udara depan Caldina, sunroof 2 step Camry, skirt sisi GT dan lain-lain lagi. Rim Volk Racing RE30 dibaluti tayar Bridgestone Potenza RE003 memastikan jentera ini cukup lengkap keseluruhannya!
Spesifikasi
Kereta : Toyota SEG AE101
Modifikasi Enjin : 4AGE Blacktop, fully balancing, head ‘port n polish’, fuel pump Walbro, fuel regulator Sard, plug cable ULTM Japan, exhaust Apexi
Transmisi : 6 Speed + Exedy clutch
Elektronik : Link G4
Suspensi & Cesi : GAB Suspension
Brek : 2 pot
Roda & Tayar : Rim Volk Racing RE30, tayar Bridgestone Potenza RE003
Dalaman : DASHBOARD BZR, APEXI TIMER, SEAT SEMI BUCKET RECARO SR4 TOMCAT THAILAND 🇹🇭
Luaran : HEAD LAMP SMOKE CRYSTAL, DEPAN BUMPER FX, FOGLAMP FX ORI, GRILL TOURINE WAGON, HOOD CUSTOM AIR SCOOP CALDINA, SUNROOF CAMRY 2 STEP, SIDE SKIRT GT, DUCKTAIL SPOILER
Bengkel & Tuner : MECHANIQ