Jom Pandu BYD Bersama MOT, Percepat Mobiliti Rendah Karbon di Malaysia

Dalam usaha mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, BYD Sime Motors telah menjalin kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengurangkan emisi karbon melalui penggunaan EV di Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, program “Jom Pandu BYD Bersama MOT” dilancarkan bagi memberi peluang kepada kakitangan MOT untuk memandu uji pelbagai model EV BYD. Program ini berlangsung selama enam bulan dan bertujuan meningkatkan kesedaran serta pemahaman mengenai kelebihan kenderaan elektrik dalam operasi harian.

Pelancaran rasmi telah diadakan di pejabat MOT di Putrajaya oleh YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan dan Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Motors, bersama barisan kepimpinan kementerian dan wakil dari BYD serta Gentari.

Melalui program ini, MOT diberi akses kepada model-model EV BYD seperti BYD SEALION 7, SEAL, ATTO 3 ULTRA, M6 dan DOLPHIN. Pengalaman langsung ini dijangka memberi pendedahan lebih mendalam kepada pegawai kerajaan terhadap prestasi dan kemudahan penggunaan EV dalam persekitaran kerja sebenar.

Dalam menjayakan inisiatif ini, Gentari melalui Gentari Green Mobility turut menyumbang dengan memasang dua pengecas AC 22kW di ibu pejabat MOT. Usaha ini selari dengan sasaran kerajaan untuk memperluaskan infrastruktur pengecas EV dan membina ekosistem mobiliti hijau yang mampan.

Kerjasama ini bukan sahaja memanfaatkan sektor awam, tetapi turut menjadi contoh penting peranan sektor swasta dalam menyokong agenda karbon sifar negara melalui perkongsian teknologi dan penyediaan kemudahan.