JETOUR-jenama kenderaan utility sukan (SUV) dan crossover sekali lagi menjadi penaja utama kepada acara larian unik berkonsepkan budaya, Malaysia Sarong Music Run bagi tahun 2026.
Jenama kenderaan di bawah Chery Holding Group yang terkenal dengan memberi fokus kepada kenderaan gaya hidup, kembara dan sport utility vehicle (SUV) sekali gus merancakkan suasana acara terbabit.
Edisi ketiga yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada 19 September kini telah berjaya menghimpunkan seramai 20,000 peserta dengan memperlihatkan gaya pemakaian kain sarung sepanjang larian.
Sepanjang perlumbaan, semua peserta akan menikmati persembahan muzik, aktiviti kebudayaan dan pelbagai pengisian interaktif untuk sesi keluarga. Terdapat 2 kategori iaitu larian sejauh 5km Malaysia Speed dan 3km Fun Ride yang menyaksikan penyertaan dari dalam dan luar negara dengan acara utama akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Edisi (ketiga) kali ini mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap acara yang menggabungkan gaya hidup sihat dengan penghargaan terhadap budaya rakyat Malaysia amnya.
“Pelbagai aktiviti bakal disajikan kepada peserta dan pengunjung yang hadir. Sama ada anda hadir sebagai peserta pada perlumbaan atau menyaksikan peluncuran kereta terbaharu dari Jetour dan konsert di sebelah malam pula,” ujar Eddy Casmady, Pengasas Malaysia Sarong Music Run yang mengiringi Datuk Bandar Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud pada majlis perlancaran sebentar tadi.
Dalam pada itu, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dijadualkan memimpin bacaan ikrar rasmi sempena Malaysia Sarong Music Run 2026. Bersama Siti Nurhaliza, selebriti terkenal itu bakal diiringi Christy Ng, Pinn Yang dan Bengap Brothers dalam segmen berkenaan.
Beberapa artis hebat dijangka akan membuat kemunculan di sebelah malam seperti Kumpulan Hujan, Hujung Simpang, Bella Astillah dan Budak Nakal akan menggamatkan suasana di perkarangan KLCC di sebelah malam.
Untuk info, kain sarung dipilih sebagai simbol utama acara kerana penggunaannya yang begitu dekat dengan kehidupan Masyarakat di Malaysia amnya. Pelbagai corak, warna dan gaya yang ditampilkan mencerminkan kepelbagaian budaya negara serta nilai kebersamaan yang diwarisi sejak turun-temurun.
Gabungan elemen tradisional dengan format larian serta persembahan muzik menjadikan acara ini lebih dekat dan relevan kepada generasi muda selain menyediakan ruang untuk penggiat seni, usahawan tempatan dan komuniti budaya ke pentas yang lebih luas.
Malaysia Sarong Music Run 2026 turut menyediakan acara sampingan seperti persembahan pembukaan bertemakan Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, pelancaran model baharu JETOUR.