Kunjungan ke Kemaman telah menemukan gua dengan kereta nih, sebuah Civic EJ yang datang dengan gaya ala Kilafairy. Kemain lentik, sebijik macam jentik-jentik jentik jentik-jentik. Bukan sebab absorber depannya kong atau bocor, tapi sengaja dibuat gitu untuk mendapatkan traction yang lebih padu. Apa lagi kalau bukan untuk tujuan perlumbaan!
Bagi sebahagian besar penggiat sukan drag, model ini dirasakan agak berat untuk tugas ini. Ramai yang akan memilih selain darinya macam Dolphin atau CRX, lagi-lagi bila beraksi dalam kategori True Street. Tapi kalau resepinya betul apa ada hal. Dan ini dibuktikan oleh Zul dan GBR Kemaman, untuk menghasilkan sesuatu yang boleh dibanggakan.
Gaya lentik yang disebut tadi berpunca dari setup suspensi jenis Mines yang sengaja dilaras pada kedudukan paling rendah di bahagian depan. Memastikannya mampu bergerak lurus ketika beraksi, ia turut dipasangkan dengan set bar traction dari K-Tuned. Untuk yang belakang pulak, set suspensi ini telah ditinggikan pada lengan bawah aluminium Skunk2, bagi mendapat agihan berat yang lebih pada roda depan.
Macam Kilafairy, penampilan luaran harus kelihatan cocok lagi munggil. Seperti biasa, salinan kit badan dari Civic EK9 menjadi pilihan sebelum diacu beberapa aksesori tambahan yang lain. Ada hood, grill, boot dan spoiler karbon fiber, fender J’s Racing, lip depan Mugen, cermin sisi Spoon dan lampu belakang LED. Sementara ruang rodanya, diisi tayar gigit Yokohama Advan Neova bersaiz 205/45R-16 pada rim Volk Racing CE28.
Harap gaya jer lentik mana cukup. Jadi ia perlu digandingkan dengan kuasa yang setara. Tersergam di ruang perutnya merupakan enjin VTEC turbo, yang diasaskan dari siri B18C Type R. Sebelum boleh diturbokan, blok dengan sleeve S90 ini perlu dinaik taraf dengan komponen yang sesuai. Antaranya penempatan set conrod dan piston 84mm dari CP Carrillo, termasuk oil sump 5.5-liter Morosso yang lebih besar. Bahagian kepala silinder diolah menggunakan set camshaft Skunk2 Pro, beserta spring injap dan retainer titanium dari jenama yang sama.
Watak utama pada sistem pendesak dimainkan oleh unit turbo Garrett GT35. Ia duduk mendongak pada sebuah manifold kustom, yang turut mengandungi sepasang wastegate Tial 44mm. Mampatan boost yang terhasil, disejukkan oleh set intercooler dan paip sambungan kustom, sebelum dibawa ke mulut throttle body Super90 yang melekat pada manifold kemasukan Edelbrock Victor X. Sementara tekanan berlebihan, akan dipaksa keluar menerusi injap pelepas Tial.
Jumlah tekanan boost yang diperlukan ini dikawal oleh unit solenoid jenis boost by gear dari Hondata. Jadi tahap cengkaman yang optimum, boleh diperolehi dalam semua keadaan gear. Lain-lain komponen yang turut membantu termasuklah cam pulley kustom, crank pulley ATI Damper, mounting enjin Hasport, tangki perangkap minyak kustom, radiator aluminium Koyorad serta pam air elektrik Meziere yang lebih efisyen.
Untuk sistem penyampaian bahan api, bekalan petrol dibawa masuk menggunakan pam Walbro 415. Ia disalurkan kepada rel bahan api Skunk2 yang memegang set injektor 2000cc. Memastikan kadar tekanan dan balikan yang yang tepat, ia dilaras menggunakan unit regulator Turbosmart. Hasil campuran yang terbentuk dalam kebuk pembakaran, seterusnya diletuskan oleh koil CPR dari Hondata, sambil diselia menerusi unit pengurusan Hondata S300 V3.
Kuasa yang dijana dihalakan ke bahagian kotak gear, yang mengandungi ratio gear dari MFactory, final gear 4.7 serta set klac jenis plet berkembar dari OS Giken. Bagi mengelak kekecewaan di tengah perlumbaan, sambungan ke bahagian roda kini disokong set driveshaft yang lebih liat dari Driveshaft Shop.
Resing resing jugak. Tapi bahagian dalam, taklah rentung sampai boleh menggadai nyawa. Ia sebaliknya masih dilengkapi komponen premium dari Civic EK9 Type R, meliputi keseluruhan ruang dashboard, panel pintu, tempat duduk, termasuk karpet dasar berkaler merah. Selain aksesori penting seperti stereng Momo Spoon dan tuas gear K-Tuned, ia turut dimeriahkan dengan deretan meter Defi pelbagai fungsi.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia sukan pecut, kereta ini telah meraih pelbagai kemenangan podium, dengan catatan masa yang boleh dibanggakan. Kata Zul, rak Ikea kat rumah tu pun dah penuh. Mungkin kena beli lain tahun ni…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Zul Zulk
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic EJ6
- Tahun – 1997
- Enjin Asal – D16B
- Modifikasi Enjin – B18C Type R, blok S90, conrod & piston 84mm CP Carrillo, oil sump 5.5-liter Morosso, camshaft Skunk2 Pro, spring injap & retainer titanium Skunk2, turbo Garrett GT35, manifold turbo kustom, wastegate Tial 44mm, intercooler & paip sambungan kustom, throttle body Super90, manifold kemasukan Edelbrock Victor X, injap pelepas Tial, solenoid boost by gear Hondata, cam pulley kustom, crank pulley ATI Damper, mounting enjin Hasport, tangki perangkap minyak kustom, radiator aluminium Koyorad, pam air elektrik Meziere, pam Walbro 415, rel bahan api Skunk2, injektor 2000cc, regulator Turbosmart, koil CPR Hondata, ECU Hondata S300 V3
- Transmisi – Kotak gear manual, ratio gear MFactory, final gear 4.7, klac plet berkembar OS Giken
- Ekzos – Paip ekzos kustom
- Luaran – Kit badan Civic EK9, hood, grill, boot & spoiler karbon fiber, fender J’s Racing, lip depan Mugen, cermin sisi Spoon lampu belakang LED
- Suspensi – Mines
- Brek – Kaliper Spoon, rotor Project Mu & pad brek Endless (depan), dram kustom (belakang)
- Rim & Tayar – Volk Racing CE28 16-inci & Yokohama Advan Neova 205/45R-16
- Dalaman – Komponen Civic EK9 Type R, stereng Momo Spoon, tuas gear K-Tuned, meter Defi, Pivot Speed Meter, pemasa enjin Apexi
- Bengkel – GBR Kemaman