Integra Type R Remuk Selepas Berjaya Dilelong!


Keterujaan seorang pembeli yang berjaya memenangi sebuah kereta Acura Integra Type R yang dilelong baru-baru ini terbantut apabila kereta tersebut terlibat dalam kemalangan. Sepertimana peminat tegar yang lain, beliau tidak melepaskan peluang apabila melihat kelibat Acura Integra Type R ini di laman Bring A Trailer.

Menurut swind74 setelah berjaya memenangi lelongan tersebut, Integra Type R merupakan kereta pertamanya di zaman sekolah dan tidak sabar untuk memandunya sekali lagi. Kereta tahun 1998 itu berjaya dilelong pada harga $51,000 (bersamaan dengan RM212,157.28).

Malangnya, sebelum sempat menerima kereta itu, kemalangan berlaku selepas sesi bidaan berakhir. Penjual yang mengeluarkan kereta tersebut telah mengalami kemalangan. Berita ini disahkan oleh Bring A Trailer yang mengatakan situasi seperti ini di luar jangkaan dan mujur tiada sebarang kecederaan jiwa dilaporkan. Selain itu, yuran yang terlebih dahulu dibayar oleh swind74 akan dikembalikan.

Gambar kemalangan yang melibatkan kereta Acura Integra Type R telah dikongsi oleh sebuah akaun Instagram Vistecrimports yang disahkan pula oleh laporan CarFax report. Kereta tersebut telah mengalami kerosakan di bahagian depan dan belakang.

Inilah yang dikatakan, malang tidak berbau!

Sumber : Carscoops / Bring A Trailer