INTEGER R

Selepas berjaya dengan model Integra DC2, Honda kembali memperkenalkan Integra pada tahun 2001, dikenali kenangan nama DC5. Napa bukan DC3 atau DC4? Napa perlu lompat? Itu kena tanya Uchino-san dan Shimada-san selaku pereka. Tergolong dalam kelas sport coupe, model generasi keempat ini dibina atas platform serba baru dengan rekabentuk yang jauh lebih matang. Katanya lah!

Kematangan ini menghilangkan sifat asalnya yang sleek. Ia jauh lebih gemok berbanding generasi sebelumnya. Ditambah penggunaan sistem gantungan yang ringkas, ramai meragui kemampuan dirinya, apatah lagi mahu mengatasi reputasi DC2 Type R sebagai model pacuan depan terbaik pernah dihasilkan.

Pun begitu, kelebihan DC5 terletak pada enjin yang digunakan. Ia antara model terawal yang menerima enjin perang K-Series. Menggabungkan sistem VTEC dan VTC secara bersama, teknologi i-VTEC yang digunakan berjaya mengubah karektor kereta ini, sekaligus melayakkan ia memegang logo R berwarna merah.

Ini kereta Fitri Thiang, seorang agen insuran yang sangat berjaya. Dah boleh pakai DC5, takkan tak berjaya lagi. Dibeli hampir 5 tahun dulu, ia antara Integra DC5 yang cukup terjaga dan masih kekal dalam kondisi terbaik. Mana taknya, hari-hari pegi kerja naik skuter. Time nak jumpa kawan-kawan jelah baru keluar.

Dari segi luaran, penggunaan kit badan Mugen banyak membantu mengubah penampilan kereta ini. Baru garang sket. Ia meliputi komponen utama seperti bumper depan, hood, skirt sisi, spoiler GT, termasuk tambahan cermin sisi CF dari Ganador. Selari dengan itu, bahagian roda telah menempatkan rim merah jenis Volk Racing CE28 RT, yang dibalut tayar Hankook RS3 dari saiz 235/45R-17.

Sektor pengendalian antara yang paling dititikberatkan. Untuk sistem gantungan, ia kini menerima set suspensi boleh laras jenis Tein Type Flex. Kemudian ada lengan bawah Function 7, plet subframe ASR, bar strut Cusco, bar fender Cusco, bar pilar C J’s Racing, bar kokpit Beatrush, bar anti roll Ultra Racing 25mm di bahagian depan, serta bar anti roll Cusco 25mm untuk belakang. Banyak betol. Ni kalau berjoget masa amik selekoh, memang saja jelah.

Kuasa hentian masih menggunakan kaliper Brembo asal di bahagian depan. Pun begitu, keupayaannya telah dipertingkatkan selepas digabungkan dengan rotor Project U, pad brek Dixcel ES, serta hos jenis braided dari Feels.

Enjin K20A yang sudah sedia baik, tidak Fitri usik tanpa usul periksa. Peningkatan cuma dilakukan di bahagian kepala silinder, yang menempatkan sepasang camshaft Toda A3 serta spring injap dari Supertech. Suapan udara pulak diterima dari kotak udara Mugen, sebelum dihubungkan ke unit throttle body dan manifold kemasukan Skunk2.

 

Hantaran bahan api datang dari pam petrol Walbro. Ia dibawa ke rel bahan api Hybrid Racing, sebelum ditembak masuk menggunakan set injektor RDX 410cc. Menjamin tambahan kuasa yang setimpal, perjalanan enjin kini diuruskan sepenuhnya oleh unit ECU Hondata K-Pro V3.

Kereta ini datang dengan trim dalaman berwarna hitam. Asyik tunjuk merah jer, padahal kaler hitam ngan biru pun ada. Sebagai sebuah model yang agak premium, tak banyak yang perlu Fitri ubah kecuali penggunaan rel tempat duduk Recaro yang lebih rendah, stereng Nardi, kunci dan hub stereng Works Bell, pemegang tali pinggang ASM, cermin belakang Spoon, meter utama Integra DC5 Ostolia serta unit paparan digital Defi ZD.

Akibat permintaan terhadap sport coupe yang semakin berkurangan, Honda mengambil keputusan untuk menghentikan pengeluaran model ini pada tahun 2006. Setakat ini belum ada tanda-tanda ia akan dihidupkan semula dan saki baki yang masih tinggal seperti kereta ini, berjaya meletakkan ia dalam kelas tersendiri…