Idola sepanjang masa. Tiada masa untuk sakit kepala…

Kalau ditanya pada saya, apa kereta idaman pada masa sekarang dan juga masa akan datang? Saya tetap akan menjawab Skyline. Baik model R34, R32 ataupun R33, ini adalah kereta-kereta yang sentiasa menjadi idaman saya pada suatu hari nanti. Tidak dinafikan, peminat jentera ini ramai, cuma untuk memilikinya agak terbatas dek kerana kewujudannya yang boleh dikategorikan sebagai spesis yang sukar untuk diperolehi dengan mudah.

Terdapat 2 varian berprestasi dalam keluarga R34 iaitu GTT dan juga GTR. GTT didatangkan dengan nadi RB25 2.5 liter single turbo manakala GTR pula datang dengan nadi RB26 DETT iaitu 2.6 liter 4WD dan juga twin turbo. Ramai mengidamkan GTR namun GTT juga tidak menjadi masalah untuk menutup kempunan anda.

Nissan Skyline R34 GTT yang dipaparkan pada kali ini merupakan satu contoh terbaik untuk diikuti. Walaupun ianya bukan asli GTR, namun ianya sudah cukup membuatkan pemilik GTR juga merasa kagum dengan apa yang ada pada jentera ini. Enjin RB25 masih lagi dikekalkan penggunaannya dan ditanamkan dengan beberapa ramuan bagi memantapkan lagi prestasi enjin ini. Antaranya aci sesondol Tomei Poncam 260” Type B, retainer Supertech, turbo GTX35R, intake JUN style dan juga throttle body VH45.

Bahan api dari tangki dipam masuk menggunakan pam Walbro 255lph seterusnya kepada rel dari HKS yang dipadankan bersama unit injektor Evo bersesaran 510cc. Gas karbon hasil dari pembakaran dalam ruangan kebuk ditolak keluar melalui sistem ekzos berukuran 3.5 inci. Unit ECU Link G4+ pula membantu untuk menala kuasa enjin menjadi lebih baik dan berkuasa. Kotak gear asal dipasangkan dengan klac berprestasi Ogura twin plate yang akan menghantar kuasa terus ke bahagian roda.

Keseluruhan sistem brek jentera ini telah dinaik taraf dengan penggunaan kaliper Brembo dari model GTR beserta rotor dan pelapik brek lengkap dari Project U untuk menjinakkan kuasa yang terhasil dari enjin buas jentera ini. Sistem penyerap hentak boleh laras ZerOne BC BR ditugaskan untuk memastikan kedudukan jentera ini boleh diubah mengikut kesesuaian.

Selain itu, ianya juga menentukan tahap keselesaan jentera. Memasuki ruang dalaman jentera ini pasti membuatkan anda tidak mempercayai ianya sebuah GTT. Keseluruhan bahagian dalam jentera ini telah mendapat salinan daripada model GTR termasuklah dari papan pemuka hingga ke meter paparan MFD.

Penampilan di bahagian luar juga sudah diubah keseluruhannya kepada model GTR. Tampak menarik adalah padanan bumper depan asli Nismo S Tune dan ditambah lagi dengan kekacakkan rim LMGT4 berukuran 18 inci yang dibaluti tayar Hankook RS4 keseluruhannya. Cukup handsome dah!!!

SPESIFIKASI