HONDA INTEGRA DC2 – KESUKAAN AMERIKA!

Bila sebut Type-R, mesti orang ingat Honda Civic Type-R. Apabila bercakap pasal sejarah R pula, ramai yang ingat Integra ialah model pertama Type-R.

Sedangkan model sulung yang memakai lencana R ialah NSX pada tahun 1992. Kalau tak silap saya, NSX ialah kereta sport paling mahal di Jepun pada masa itu. Tidak ramai mampu membeli model Type-R yang beratnya kurang 100 kilogram berbanding model biasa.

Sudahlah badan aluminium, pemandu ujiannya pula Aryton Senna. Maka tidak hairanlah jika NSX memang legend habis masa mula-mula ia diperkenalkan dahulu.

Tetapi, lagenda R sebenar bagi masyarakat bawahan sudah tentulah Honda Integra DC2. Lahir pada tahun 1995 dengan enjin B18CR berkuasa 200hp, ia merupakan kereta dengan kuasa kuda paling tinggi dalam kategori sport coupe bersaiz sederhana berenjin aspirasi biasa (N/A). Memang B18C adalah teknologi tertinggi pada zaman enjin B series. Sampai sampai hari ini pun half-cut dia bukan murah.

Masa kereta ini baru ditawarkan, statusnya macam DC5 pada hari ini. Ini ialah model asal DC2 spec Genki tahun 1995 yang asli dengan transmisi manual dan tidak banyak diusik. Sekarang, kalau ada duit pun bukan senang cari orang yang nak jual DC2. Hendak cari yang cantik lagi susah. Berapa kerat sangat orang nak jual DC2?

Berkisar pada harga Honda EK empat pintu convert penuh, DC2 sebenarnya lebih value for money kalau dibeli. Casisnya memang sudah diperkuat dan badannya lebih rigid. Lebih penting lagi, enjinnya memang asli B18C yang power itu. Saya pun rasa macam nak beli kalau ada duit lebih. Tetapi bila fikir kena campak duit tunai RM40,000 hingga RM50,000 terus buat-buat lupa.

Kereta ini saya jumpa kat Pulau Pinang. Pemiliknya bernama Muhd Khalil Md Saad. Katanya kerja kerajaan dan ini ialah kereta hariannya. Kalau sebelum ini enjin B series penuh dengan segala benda nak kasi laju, brader Khalil cuma pasang airbox Mugen dan hos Samco sahaja. Benda lain yang ditukar ialah pelapik klac ATS karbon, itu pun sebab klac asal dah habis.

Perkara penting yang tidak dilupakan ialah suspensi yang layu sebab kereta dah lama sangat. Jangan bimbang kerana suspensinya sama sahaja dengan Civic. Kalau dapat yang boleh laras lagi bagus. Khalil dapat suspensi boleh laras KG/MM yang memang datang daripada half-cut DC2 Kouki.

Kadang-kadang idea yang ringkas boleh nampak lebih baik daripada ubah suai yang ekstrem. Biasanya, model-model awal DC2 akan ditukar menjadi versi 1999. Bezanya memang ketara. Lampu panjang jadi bulat dan roda dengan 5 knuckle hub.

Breknya masih ikut spesifikasi asal dan dipadankan dengan rim Enkei RS 15 inci. Rim itu dipasang dengan tayar Hankook V12 bersaiz 195/55/15 di segenap sudut.

Apa lagi yang boleh menjadikan sifat Integra sebagai sebuah Type-R, bila pejam mata orang tahu VTEC nak lalu? Resepinya ialah ekzos perang yang wajib, sampaikan kereta VTEC bangang macam City tu pun nak tukar ekzos perang.

Kereta ini menggunakan manifold 4-1 Turbo S, paip lurus dan peredam bunyi Pro Racer. Bunyinya tidaklah memekik sangat semasa melahu, tetapi kalau pecut boleh tahan juga bisingnya.

Bahagian dalaman kereta dipasang dengan meter Defi, stereng OMP deep dish dan tempat duduk Bride Low Max untuk pemandu. Kalau tanya saya, rasanya saya pilih stereng dengan beg udara standard dan tempat duduk Recaro SR3 standard untuk kereta ini.

Sebagai penutup, saya dapat rasakan bahawa orang sudah mula lupa pada DC2. Bila nak main VTEC, mesti google Civic. Pada hal Integra pun ada versi empat pintu DB8 yang asli Type-R lagi.

Sebenarnya era 1990-an adalah syurga buat peminat kereta sport Jepun. Banyak pilihan dan harganya tidak merepek macam harga kereta sekarang.

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ