Sebelum ini, Honda mengumumkan untuk menjual kereta elektrik pertama keluarannya hanya untuk pasaran Jepun dan Eropah. Baru-baru ini, Honda e telah pun tiba di Malaysia yang diimport oleh Weststar Motors sebagai kenderaan recond seperti yang dilaporkan oleh Paul Tan.
Jika di UK, Honda e ini didatangkan dalam dua varian tetapi untuk pasaran Malaysia, hanya varian Advance yang dibawa masuk dengan harga ditawarkan pada RM210,000. Namun begitu, harganya tidak tetap kerana mengambil kira spesifikasi dan keadaan kereta tersebut.
Bagi makluman, unit pertama Honda e telahpun dihantar ke pelanggan pada bulan lalu. Dengan harga yang ditawarkan agak mahal dan tanpa apa-apa servis selepas jualan, mereka yang benar-benar berminat dan berani sahaja akan sanggup membeli Honda e ini menerusi Weststar.
Sebagai sebuah kereta kompak, ia tidak menghairankan kenapa masih ada yang berminat untuk memiliki Honda e ini. Penampilan yang comel dan ringkas dengan kelengkapan pelbagai teknologi moden, Honda e pastinya mendapat lebih banyak permintaan di masa akan datang di Malaysia.
Sumber : Paul Tan / Motor1