Honda Civic siri FD merupakan model yang mempunyai reka bentuk cukup radikal. Ia membuatkan pesaing tradisinya, Toyota Corolla nampak macam kereta tak cukup sifat.
FD buat kali pertama menjadi model Civic Type-R dijual dalam bentuk sedan 4 pintu berbanding hatchback 2 pintu sejak zaman EK9. Sekali lagi, magis yang dilakukan oleh jurutera Honda memastikan model Type-R walaupun nampak besar gedabak, tetapi lebih ringan dan pantas daripada Integra Type-R!
Walaupun kereta ini bukan Type-R asli, tapi ia telah disumpah menjadi Type-R jadian yang masih menyengat dari segi kuasa dan pengendalian. Enjin asal sudah diganti dengan enjin K20A Type-R yang mampu menghasilkan hampir 240bhp tanpa bantuan sebarang sistem pendesak!
Untuk orang yang nak bikin enjin ini untuk perlumbaan hujung minggu, tak banyak ubah suai yang perlu dibuat. Sebabnya, enjin ini dalam keadaan standard pun dah power gila.
Jadi, pemilik Civic ini cuma menggantikan kotak penapis udara asal dengan penapis udara jenis pos terbuka daripada Blitz yang dipasang menggunakan paip udara keluli tahan karat custom.
Satu naik taraf yang jarang saya tengok dibuat ialah naik taraf sistem timing chain enjin ini. Ya, kalau kereta yang guna belt, memang selalu saya tengok orang ganti belt perlumbaan yang dibuat daripada bahan kevlar. Tapi ini kali pertama tengok timing chain diganti dengan barang racing. Enjin ni menggunakan kit timing chain dan peregang daripada Toda.
Sistem bahan api enjin mendapat kit rel bahan api Skunk2. Bagi menyejukkan enjin, radiator asal diganti dengan radiator aluminium AVS. Enjin kemudian mendapat khidmat sistem ekzos lengkap buatan custom yang bermula daripada manifold hinggalah ke peredam bunyi yang diinspirasikan daripada reka bentuk J’s Racing.
Kotak gear manual enam kelajuan dengan sistem LSD yang datang sekali bersama enjin Type-R ini diberi sistem klac perlumbaan baru daripada ORC. Kotak gear dengan klac perlumbaan ni memang cukup sesuai untuk digunakan pada trek dan jalan raya.
Untuk pengendalian, Honda Civic ini dibekalkan dengan satu set penyerap hentak boleh laras sepenuhnya buatan Ftuned Racing. Penyerap hentak boleh laras buatan tempatan ini telah diberi sentuhan custom untuk disesuaikan dengan kereta yang akan berada di atas litar lumba pada hujung minggu.
Kemudian kembali menjadi kereta untuk kegunaan pada hari biasa. Satu set roll centre adjustor J’s Racing turut dipasang yang bertindak mengurangkan body roll ketika mengambil selekoh.
Set lengkap brek Civic Type-R disalin sepenuhnya bagi memastikan kereta ini boleh membrek dengan lebih baik dan selamat. Semua brek ini dicengkam oleh pelapik brek perlumbaan Endless yang mampu menahan haba sehingga 800° Celsius!
Rim Wedsport TC105N 17 inci dengan tayar-tayar berprestasi tinggi bersaiz 225/45/17 digunakan untuk membantu kereta ni mendapat cengkaman maksima.
Dari segi penampilan, Civic ini dipasang dengan bodykit Spoon yang direka khas untuk Civic Type-R. Bodykit ini merangkumi bampar depan yang 100% berbeza daripada bumper Type-R asal dan skirting sisi yang lebih labuh.
Bampar belakang dipotong separuh bagi mengurangkan berat. Ini adalah trend terbaru kereta yang diubah suai untuk perlumbaan. Tak lupa, sebuah GT wing gentian karbon, bonet depan karbon dan cermin sisi karbon memastikan kereta ni mendapat penampilan kereta lumba yang sebenar.
Bahagian dalaman yang separa kosong ini dilengkapi set papan pemuka lengkap Civic Type-R dan panel gentian karbon. Stereng perlumbaan Momo digunakan. Manakala tempat duduk pemandu ialah bucket penuh daripada Mugen.
Pada papan pemuka kelihatan sebuah meter A/F ratio AEM dan GReddy Infometer yang memberi pelbagai bacaan penting tentang enjin. Sebuah monitor daripada Defi ZD Advance dipasang pada bahagian cermin depan kereta.
Civic FD2 menandakan berakhirnya zaman enjin VTEC N/A berkuasa tinggi. Memandangkan model yang bakal menggantikannya menggunakan enjin bercas turbo. Khabarnya, model sedan bukan Type-R pun akan menggunakan enjin 1.5 turbo daripada keluarga Earth Dream Honda.
Bagi penggemar enjin N/A Honda, sila ucapkan selamat tinggal pada satu era yang cukup gemilang yang Honda berikan pada anda…
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ