HONDA CIVIC EG9 JDM

JDM dan orang Malaysia memang tidak boleh dipisahkan. Dari dulu lagi, kita memang cenderung membuat modifikasi kereta stail JDM.

Asalnya mungkin disebabkan oleh kereta seperti Proton dan Perodua yang memang tidak boleh blah reka bentuknya. Kereta-kereta itu kemudian dirombak dengan perkakasan asal Mitsubishi dan Daihatsu.

Apabila kereta itu didatangkan dengan aksesori yang semakin susah dicari, itulah yang orang paling suka. Sampaikan reflektor Move boleh cecah harga RM2,000 dan cermin Tiffana surfboard harga pasarannya boleh sampai RM1,600. Gila ke apa dia orang ni?

Jauh daripada kehangatan aksesori JDM K-Car, istilah JDM pada sedan biasa macam Civic bukanlah asing juga. Kalau saya ada sebuah EG bullet, sudah tentu saya pasang dengan segala mak nenek yang boleh asalkan dari Jepun.

Masalahnya, bukan saya seorang sahaja yang berfikiran begitu, hampir 99 peratus berpendapat sama. Maka secara tak langsung menjadikan barang-barang kereta ni sampai ke siling tingginya.

Ini ialah salah sebuah kereta yang boleh dikategorikan praktikal sebagai kenderaan keluarga dan dimodifikasi semahunya. Apa yang bermula dengan sebuah Ferio standard EG9 yang dah cukup laju telah dibuat semula supaya jadi lebih laju. Kereta ini milik Mohd Najib yang merupakan seorang pomen.

Benda seronok tentang Civic sudah tentulah enjinnya. Unik juga bila diberitahu bahawa kereta ini dipasang dengan asas blok Eagle daripada siri B18B. Enjin B18B memang tak popular langsung kerana ia datang daripada model Integra yang tak ada VTEC. Biasanya blok begini dipilih untuk projek rojak, campur barang sana-sini. Sama macam kes EG9 ini.

Blok enjin B18B dicantumkan dengan kepala silinder B18C GSR. Jangan salah faham sebab B18C ada dua, GSR dan Type-R. GSR adalah versi Pasir Gudang dan Type-R versi litar Sepang. Dalam kepala selinder dipasangkan dengan cam pulley Skunk2 dan Pro3 camshaft. Sambil-sambil itu buat port dan polish stage 3, sebelum dipasang valve spring dan retainers Skunk2.

Blok pula dipasang dengan piston 85mm Supertech. Crankshaft dipakaikan dengan crankshaft CR-V menjadikan lejang bertambah kepada 2 liter. Segala yang saya senaraikan tadi adalah asas untuk membina platform enjin B series.

Ada macam-macam cara sebenarnya. Ada yang buat 2 liter untuk dapatkan lejang panjang pada high end (dengan box asal). Ada pula yang suka lejang pendek daripada B16B dan tork sampai 30kgm dengan box synchromesh pendek. Kesimpulannya, terpulang jenis momentum macam mana yang dimahukan oleh pemandu.

Selebihnya ialah alat sokongan yang membantu menyempurnakan keseluruhan sistem. Dalam bay kereta terletaknya intake manifold Edelbrock yang disambungkan dengan throttle body 74mm Super90. Bekalan minyak dilancarkan lagi dengan fuel rail AEM dan sebuah penyuntik tambahan RC Racing.

Radiator yang kurus tapi tebal itu jenama Mines. Sementara pam daripada Walbro. Paip ekzos memang ngeri tengok, tiga inci. Manifold 4-2-1 Hi-Tech dan muffler jenama Mugen Twin Loop. Bahagian penutup pada aturcara komputer ialah ECU Hondata. Tak habis lagi, semua wayar kemudian disorok. Ikut stail wire tuck modifikasi Amerika.

Kuasa yang dihasilkan disalur ke permukaan jalan menerusi kotak gear B18C Type-R dengan pelapik klac twin plate OSGiken. Rimnya dibalut oleh tayar Toyo Proxes T1R 195/55. Masih mengekalkan keaslian hub 4 lubang, Mohd Najib memilih TE37 yang merupakan rim kebangsaan bagi tema JDM.

Bagi memastikan kereta ini melekat di atas permukaan jalan, set suspensi boleh laras TEIN dipasang di segenap sudut. Brek pula dikemaskan dengan pelapik Bendix Metal King di depan dan belakang..

Hanya orang tertentu sahaja yang ada citarasa begini pada bahagian kokpit. Jenis yang tak suka warna merah. Jadi guna tempat duduk Recaro SR3 Type-R hitam. Tempat duduk belakang kekal dengan 2 seater EG9 spec 1994 (kereta ini asalnya Zenki).

Papan pemuka asal digandingkan dengan meter DC2 yang juga hitam latar belakangnya. Stereng yang nampak biasa itu adalah versi terhad daripada Personal. Akhir sekali ialah pemain CD Kenwood dan pembesar suara Gathers.

Bahagian luar berkonsepkan gelap, mengingatkan saya pada Civic Back Yard dulu-dulu. Banyak bahagian guna barang karbon Racecraft seperti bonet depan dan belakang. Bahagian badan lain disembur dengan warna matt grey.

 

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ