Meskipun bahang sambutan Aidilfitri kini masih terasa di minggu pertama Syawal, memori indah sepanjang bulan Ramadan lalu tetap segar dalam ingatan komuniti permotoran tempatan. Antara yang mencuri tumpuan adalah penganjuran Iftar Type R Malaysia 4.0 yang telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang pada 14 Mac yang lalu. Program tahunan ini bukan sekadar sebuah majlis berbuka puasa, malah ia merupakan satu platform ukhuwah yang menyatukan peminat jentera Type R dengan aktiviti kemasyarakatan yang bermakna.
Seawal jam 4:00 petang, para peserta telah mula berkumpul di titik pertemuan (RV) yang ditetapkan iaitu di R&R Seri Kembangan (Lebuhraya MEX). Suasana di perkarangan Shell dan Petronas di situ dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai generasi jentera Type R untuk sesi taklimat media. Sebelum konvoi bergerak, satu sesi penggambaran video telah dijalankan bagi merakamkan momen-momen ikonik jentera yang beratur kemas sebelum memulakan perjalanan menuju ke lokasi utama acara.
Tepat jam 5:00 petang, konvoi Type R Malaysia mula bergerak menuju ke The Avenoir Equestrian Park, Putrajaya. Ketibaan para peserta di lokasi tersebut disambut dengan suasana yang tenang dan eksklusif. Sebaik tiba, setiap pemilik jentera segera menguruskan pengambilan baju rasmi di meja urusetia untuk persiapan sesi bergambar. Langkah ini memastikan keseragaman imej komuniti terpelihara, sekali gus menonjolkan disiplin dan identiti kumpulan yang tinggi.
Agenda sebelah petang diteruskan pada jam 6:00 petang dengan aktiviti yang cukup padat, melibatkan sesi penggambaran berkumpulan dan individu. Pihak penganjur turut menggunakan teknologi dron bagi merakam sudut pandang udara yang lebih dramatik terhadap susunan jentera. Suasana bertambah istimewa dengan kehadiran gimik artis jemputan, di samping peluang keemasan buat anak-anak yatim untuk bergambar bersama-sama barisan jentera Type R yang menjadi idaman ramai.
Kemuncak acara bermula di pentas utama pada jam 6:30 petang dengan ucapan perasmian daripada pihak penganjur dan bacaan doa berbuka puasa. Selepas selesai menjamu selera, majlis diteruskan dengan agenda teras iaitu penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim. Sesi ini turut diserikan dengan persembahan daripada anak-anak yatim dan artis jemputan Afieq Shazwan yang juga salah seorang pemilik jentera Type R, menjadikan malam tersebut bukan sahaja tentang minat pada automotif, tetapi juga tentang nilai perkongsian rezeki.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup daripada pihak urusetia sebelum para peserta bersurai sekitar jam 10:00 malam. Secara keseluruhannya, Iftar Type R Malaysia 4.0 telah membuktikan bahawa komuniti kereta di Malaysia mampu menganjurkan acara yang berimpak tinggi dan tersusun rapi. Kejayaan program ini diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan, sekali gus mengekalkan ukhuwah yang erat dalam kalangan pemilik Type R di seluruh tanah air.
Gambar : Ayie Photography