Himpun Komuniti Automotif dan Muzik di MAEPS, Jauh Lebih Meriah dan Menyegarkan

Acara tahunan Kustom & Counter Culture terbesar di Malaysia, Art of Speed Malaysia 2026 (AOS 2026), kini kembali menemui peminat dengan mempertaruhkan tema “Summer Festival – Kustom Bergaya”. Edisi kali ini dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Ogos 2026 bermula jam 10 pagi hingga 7 malam di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS). Penganjuran mega ini bakal memanfaatkan ruang dalaman seluas 452,084 kaki persegi serta kawasan luar mencecah 320 ekar bagi menyatukan kelestarian gaya hidup automotif dan kehangatan muzik rancak.

Kehadiran komuniti kali ini akan dimeriahkan lagi dengan barisan tetamu kehormat serta VIP antarabangsa seperti wakil MOONEYES dari Jepun, Wataru Kato dari Liberty Walk, dan Ketua Pereka Produk untuk Hot Wheels Premium, Ronald Wong. Para pengunjung juga berpeluang menyaksikan deretan tarikan kenderaan kustom eksklusif bertaraf mahakarya yang dibawakan khas dari luar negara. Antara jentera utama yang bakal dipamerkan termasuklah motosikal vintaj 1945 Harley-Davidson Knucklehead oleh Hawgholic dan 1966 Harley-Davidson Shovelhead oleh Vise Clothing dari Jepun, di samping kereta kustom dari Thailand dan Taiwan.

Bagi peminat seni hiburan, SoundCircus Festival (SCF) 2026 bersedia melakar sejarah tersendiri sebagai penganjuran terbesar yang menampilkan 6 pentas merentasi ruang dewan dan kawasan terbuka MAEPS. Festival mega yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam ini akan dihangatkan dengan persembahan barisan artis gergasi seperti kolaborasi eksklusif Ella x Cokelat, Nadin Amizah, serta gandingan bersama Sheila Majid. Konsert ini turut menjadi platform istimewa bagi meraikan sambutan 20 Tahun Kumpulan Hujan dan penghormatan khas 30 Tahun Asian Hardcore.

Daya tarikan acara diteruskan lagi dengan kebangkitan segmen prestij ‘AOS Invitational Build-Off’ yang menyaksikan lapan pembina motosikal kustom elit tempatan berentap demi merebut hadiah wang tunai serta peluang membawa jentera mereka ke peringkat dunia di Jepun. Di Dewan A pula, zon ‘Show & Shine’ tampil memukau menerusi himpunan jentera chopper kustom terbaik di Chopper Paradise dan pameran trak pikap kustom di Pick-Up Line. Pemenang anugerah tertinggi Best of Show bagi kategori kereta dan motosikal akan dihadiahkan tiket penerbangan tajaan ke The 34th Annual Yokohama Hot Rod Custom Show pada Disember 2026.

Sementara itu, Dewan C bakal digegarkan dengan penganjuran Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) edisi ke-4 yang membawakan model kereta diecast eksklusif Nissan Skyline GT-R V·Spec II (BNR34) dengan nombor siri unik. Pengunjung bertuah juga berpeluang menyertai sesi perkongsian eksklusif bersama pereka terkenal Ronald Wong serta melihat barisan kereta Nissan Skyline sebenar hasil kerjasama Malaysia Skyline Owners Group (MSOG). Selain Hot Wheels, pelbagai pelancaran model diecast eksklusif lain turut diadakan seperti kerjasama Kyosho X MOONEYES, Tarmac Works X RWB, dan Mini GT X Liberty Walk.

Sebagai usaha memperkukuh kedudukannya sebagai hab subbudaya serantau, AOS 2026 memperkenalkan sepuluh kolaborasi mega bersama jenama global dan tempatan termasuk Touch ‘n Go, Zippo, dan DICE Magazine. Pihak penganjur turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Astro Shaw untuk mempromosikan filem terbaharu bertajuk “Terbang” melalui aktiviti interaktif dan sesi ramah mesra pelakon. Di samping itu, pelbagai tarikan gaya hidup baharu disediakan termasuk zon Kulture Kartel untuk peminat barangan vintaj, perhimpunan berbasikal “KL Orbits”, serta perjumpaan kelab kereta dan skuter.

Kemudahan rekreasi turut diwarnai dengan pengalaman zip line Flying Fox pertama di Asia yang merentasi atas penonton konsert secara langsung serta zon pandu uji motosikal daripada pelbagai jenama terkenal. Aktiviti ikonik ‘Kembara Passport’ turut kembali bagi menawarkan hadiah cabutan bertuah keseluruhan bernilai RM80,000 kepada pengunjung yang melengkapkan 24 cap di reruai terpilih. Hadiah utama yang disediakan amat lumayan, merangkumi satu unit motosikal kustom daripada Thunder Motorcycles, sebuah kereta Honda HR-V yang diubah suai oleh Qartel TV, serta sebuah Vespa S 125.

Pas masuk hujung minggu kini boleh didapati secara dalam talian pada harga ‘Early Bird’ RM35, manakala pembelian di kaunter pula ditetapkan pada harga RM40 dengan kemasukan percuma bagi kanak-kanak bawah 12 tahun serta pemegang kad OKU. Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Encik Asep Ahmad Iskandar, melahirkan rasa syukur atas sokongan komuniti sepanjang 15 tahun penganjuran dalam merealisasikan festival bertaraf dunia yang menggabungkan automotif dan muzik langsung. Sebarang maklumat lengkap mengenai pembelian tiket serta urusan komersial boleh dilayari menerusi laman web rasmi www.artofspeedmy.com.