Hari Raya Kelab Dan Komuniti Kereta Utara, Suntik Aura Positif

Kalau sudah minat, hujan mahupun panas semuanya diredah dan mustahil mematahkan semangat. Apatah lagi, apabila dapat berhimpun bersama komuniti yang berkongsi minat sama seperti yang diadakan baru-baru ini iaitu Northern Big Day Out 2023. Dianjurkan Gabungan Kelab Kereta Negeri Kedah dengan kerjasama KOYAK sebagai penganjur utama dan aplikasi WeMotoo, program ini mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.

Berlangsung di Amanjaya Mall, Sungai Petani, program yang diadakan buat kali keempat ini dihadiri sebanyak 60 kelab atau komuniti kereta. Satu jumlah yang sangat besar dan juga mencabar kepada para penganjur khususnya barisan krew yang bertugas dalam memastikan program berjalan lancar serta tiada kesesakan di tempat yang sangat padat dengan kehadiran para peserta dan pengunjung.

Sebanyak empat kategori telah disediakan untuk perhimpunan mega ini iaitu Best Car Club, Best Car Community, Club Dress Group dan Community Dress Group. Pelbagai ragam dan idea kreatif kelab-kelab dan komuniti kereta dapat dilihat sekali gus menjadi penyeri sepanjang program berlangsung. Manakala hadiah-hadiah yang disediakan merupakan tajaan para penaja terlibat.

Program NBDO kali keempat ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti menarik yang lain seperti Carshow dari Geng-geng JDM, pameran kenderaan 4×4 Buggy yang dibawakan oleh Gothai, kereta drift yang dibawakan khas dari Kuala Lumpur oleh Loyai. Tapak program bertambah meriah dengan pertandingan mewarna dan juga sukaneka. Tidak ketinggalan, sesi Meet & Greet bersama Ustaz Firdaus Firabib. Malah, kehadiran Alie Kuoppa (Retro Havoc) menambahkan lagi kehangatan.

Berganjak ke lewat petang, acara diteruskan dengan acara yang paling dinanti-nantikan iaitu Cabutan Bertuah yang menawarkan hadiah bernilai RM10,000.00. Antara hadiah yang dibawa balik pemenang bertuah adalah Rim tayar tajaan HTag Service & Tyre, Bucket Seat SSCUS, baucar tunai RM300 untuk pemasangan semua jenis sunroof oleh Mat Lowsen Otai Sunroof dan banyak lagi!

Sebelum menutup tirai program NBDO kali keempat ini, para peserta dan pengunjung dihiburkan dengan pameran audio oleh kereta-kereta audio dengan sistem yang cukup padu. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak Amanjaya Mall, PDRM dan juga JPJ kerana memberi kebenaran menganjurkan program hari raya untuk kelab dan komuniti kereta di bahagian Utara ini. Tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan sebuah program yang berjalan dengan lancar serta memberikan aura positif khususnya untuk kelab dan komuniti kereta Utara!

Gambar : Arahman Crew Arahman