Hanya RM61,322.69, Ada Sesuatu Yang Tak Kena!

Mustahil sebuah Ferrari baharu dijual pada harga murah. Ya, memang benar. Harganya dijual pada $14,065 bersamaan RM61,322.69 tetapi tidak boleh dipandu atau pun dinaiki. Hanya boleh dilihat dan semestinya boleh disentuh.

Ferrari yang dimaksudkan ialah sebuah replika berskala 1:8 dan sebagai koleksi Amalgam (Amalgam Collection). Dijual dengan harga $14,065 dan dikeluarkan sebanyak 199 unit. Jika anda teringin memilikinya, mungkin sudah boleh mula cari jalan kerana pasti ramai di luar sana yang sanggup berbelanja untuk mendapatkannya.

Berukuran sekitar 57cm panjang, model skala Ferrari 296 GTB ini memakan masa selama 3,000 jam untuk dibina dan setiap unit datang selepas 300 jam. Penampilannya memang mirip kereta supercar sebenar dan bagi memastikan ia kelihatan sama, syarikat ini telah berkolaborasi dengan Ferrari sepanjang pembinaannya menggunakan rekaan CAD asal. Kod untuk warna cat juga sama, begitu juga dengan spesifikasi material.

Sebelum mendapatkan restu dari pengeluarnya bagi meneruskan kerja-kerja pembinaan, model skala ini telah menjalani perincian oleh jurutera Ferrari dan pasukan pereka untuk memastikan semuanya tepat. Jadi, tidak hairanlah harganya sama dengan kereta terpakai.

Sumber : Autoevolution