Tahun 2021 merupakan ulang tahun ke-60 salah satu kereta sport paling cantik pernah dihasilkan; Jaguar E-Type. Bagi meraikan kejayaan ini, Jaguar Classic membina sebanyak 6 pasang kereta yang direstorasi untuk membentuk koleksi E-Type 60. Memeriahkan lagi sambutan ini, Jaguar telah mendedahkan F-Type Heritage 60 baru edisi terhad yang direka oleh divisyen personalisasi SV Bespoke Jaguar. Berdasarkan Jaguar F-Type R, Heritage 60 Edition ini terhad kepada 60 contoh di seluruh dunia sebagai meraikan ulang tahun E-Type ke-60.
Setiap kereta dilayangkan dengan warna Sherwood Green E-Type solid sebagai sebahagian spesifikasi khas ini. Warna ini belum pernah ditawarkan pada mana-mana Jaguar terbaharu sejak tahun 1960an. Ditawarkan dalam coupe atau convertible, edisi ini menggunakan rim aloi 20 inci berlian hitam berkilat yang unik yang menampilkan ciri-ciri inspirasi retro hitam berkilat dan eksterior krom dan kaliper brek hitam.
Bahagian dalamnya pula dikemaskan dengan kulit Caraway dan Ebony Windsor dua ton. Selain itu, ia juga didatangkan dengan konsol aluminium unik diinspirasikan dari bekas cermin pandang belakang E-Type asli. Tidak ketinggalan, logo ulang tahun E-Type 60 tahun pada kerusi, lencana E-Type 60 bersama edisi terhad kereta koleksi E-type 60, plat peringatan serta plak SV Bespoke dan tikar lantai Caraway.
“Meraikan ulang tahun ke-60 Jaguar E-Type yang ikonik, ini merupakan masa yang tepat untuk mencipta edisi terhad SV Bespoke yang pertama dan hanya 60 unit F-Type sahaja dibina di seluruh dunia,” ujar Pengarah Komersial di Jaguar SV Bespoke.
“Kami telah bekerjasama dengan Jaguar Design untuk membangunkan tema F-Type Heritage 60 Edition yang memberi penghormatan kepada E-Type dengan cara kontemporari. Ia merupakan rekaan warisan kereta sport Jaguar dengan penampilan warna Sherwood Green tahun 1960an dan hari ini direka untuk F-Type.”
Berdasarkan F-Type R, Heritage 60 Edition dikuasakan oleh V8 5.0-liter yang menghasilkan 575 hp dan tork 516 lb-ft, membolehkannya memecut dari 0-62 mph dalam 3.5 saat dan mencapai kelajuan tertinggi dari 186 mph. Harga untuk pasaran Amerika Syarikat akan diumumkan kemudian tetapi Heritage 60 Edition terhad ini lebih premium berbanding F-Type R biasa dengan harga $103,200. (RM419,430.88).
Sumber : Carbuzz