Kehadiran Nissan GT-R telah banyak mengubah corak milikan kenderaan berprestasi di negara ini. Mungkin kerana harganya yang sedikit berpatutan, membolehkan lebih ramai golongan berkemampuan mula memilikinya. Ditambah dengan prestasinya yang mengkagumkan, tidak hairanlah jika ia diletak setanding dengan jenama berprestasi tinggi dari Eropah.
Memasuki usia selanjut 13 tahun, GT-R pastinya datang dalam varian yang pelbagai. Ada varian asas Pure, Premium, Black Edition, Spec V, Track Edition, Nismo, termasuk model edisi khas yang lain. Bergantung kepada tahun pengeluaran, pakej ditawarkan juga agak berbeza memandangkan ia sentiasa dinaik taraf. Keadaan ini mewujudkan julat harga yang agak besar dan kurang difahami.
Pemilik GT-R ini sebenarnya datang jauh dari Sabah. Dimiliki oleh Adey, ia telah dibawa ke ATS Automobile di Sunway, semata-mata untuk dinaik taraf pada kadar yang sesuai. Bukan cakap tempat lain takde mahir, cuma mereka di sini cukup masak dengan perangai kereta ini dari segala segi.
Memandangkan keadaan enjinnya yang sangat padat, agak sukar untuk memperlihatkan apa yang dilakukan Adey ke atas enjin ini. Kenalah tengok Facebook dia kalau nak tahu. Secara dasarnya bahagian dalaman enjin ini masih belum berubah, kecuali penggunaan kit turbo yang lebih padu.
Akibat ruang yang terhad, kemasukan kit turbo ini memerlukan keseluruhan enjinnya dibawa turun. Leceh juga sebenarnya. Mujur ia memang direka untuk model ini, membolehkan kit tersebut dipasang terus tanpa pengubahsuaian. Ia mengandungi sepasang turbo hybrid dengan fin billet Nismo, wastegate HKS, serta set intercooler dan paip sambungan HKS. Yang boleh kita perasan hanyalah sepasang injap pelepas HKS Super SVQ yang tertenggek elok di ruang enjinnya.
Bekalan bahan api diasak masuk oleh pam petrol Bosch, sambil dipancit menggunakan set injektor 1050cc. Kuasa cucuhan asal yang sudah memadai masih terus berfungsi. Sementara aspek talaan telah diubah sepenuhnya, menggunakan perisan ECU dari Cobb Tuning.
Kepada yang kurang arif, GT-R ini telah mengalami perubahan kosmetik yang agak menarik. Bermula sebagai model 2009 yang agak sederhana, ia kini menggunakan kit badan facelift 2017 dengan kemasan karbon di sana-sini. Untuk lebih menonjol, beberapa komponen tambahan turut diguna sama seperti hood gentian karbon Top Secret, lip gentian karbon Varis, serta sebuah spoiler GT gentian karbon dari Kansai.
Sektor pengendalian masih menggunakan set suspensi dari Bilstein. Memastikan ia mampu berhenti pada waktunya, kit Brembo yang digunakan kini dilengkapi set rotor AP Racing di bahagian depan serta pad brek 800cc dari Project U. Pelengkap kepada sektor ini adalah rim 20-inci jenis Rays Volk Racing G12, berserta tayar Michelin Sport Cup 2 dari saiz berbeza. Depan pakai 265/35ZR-20, manakala belakang diberi saiz 325/30ZR-20.
Untuk sebuah jentera berprestasi seperti ini, ruang dalaman semestinya tampil dengan pakej yang sudah sedia baik. Tak perlu tukar bagai, memandangkan setiap komponen yang dibekalkan memiliki fungsi tersendiri. Untuk itu, tiada sebarang perubahan dibuat dan ia masih kekal selesa seperti yang diharapkan.
Dah datang jauh-jauh, berapa banyak yang Adey mampu dapat? Hampir sekali ganda iaitu sekitar 700 kuasa kuda dengan 83kgm tork, untuk dibawa pulang ke Sabah…
SPESIFIKASI
-
-
- Pemilik – Adey Khan
- Pengeluar – Nissan
- Model – GTR
- Tahun – 2009
- Enjin asal – VR38DETT
- Modifikasi Enjin -Kit turbo hybrid & fin billet Nismo, wastegate HKS, intercooler & paip sambungan HKS, injap pelepas HKS Super SVQ, pam petrol Bosch, injektor 1050cc, ECU Cobb Tuning
- Transmisi – Cobb Tuning
- Ekzos – Akrapovic
- Luaran – Kit badan facelift 2017, hood gentian karbon Top Secret, lip gentian karbon Varis, spoiler GT gentian karbon Kansai
- Suspensi – Bilstein
- Brek – Kit brek Brembo, rotor AP Racing (depan), pad brek 800cc Project U
- Rim & Tayar – Rays Volk Racing G12 20-inci & Michelin Sport Cup 2 265/35ZR-20 (depan), 325/30ZR-20 (belakang)
- Dalaman – Standard
- Bengkel – Bone As Haidar, ATS Automobile
-