Gegarkan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis


Ratusan belia dari seluruh negeri telah hadir dan membanjiri Kampus Uniciti Alam di Padang Besar sekali gus menyemarakkan lagi program Lepak Santai Permotoran Utara. Diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung pada 17 dan 18 Mei yang lalu. Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan dan menyaksikan penyertaan yang cukup memberangsangkan.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Presiden Majlis Belia Negeri Perlis, Ts. Mohd Jeffry bin Hassan dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, En. Musa bin Salim, yang menyokong  penganjuran aktiviti-aktiviti belia dan permotoran yang sihat seperti ini.

Bukan sahaja berjaya menghimpunkan golongan belia, malah ia turut menjadi himpunan para pencinta dunia permotoran dalam satu acara yang terbuka kepada semua pemilik motosikal, kereta dan trak. Mini Himpunan Permotoran ini turut diserikan dengan penjualan pelekat acara pada harga serendah RM1 yang memberi peluang peserta menyertai cabutan bertuah secara percuma. Kehadiran pelbagai jenis jentera menjadikan suasana lebih meriah dan mengujakan.

Antara aktiviti utama ialah Motorshow anjuran Chee Tart, menampilkan motosikal berkonsep unik dan menarik, serta Autoshow oleh LAH Audio yang memperagakan kereta dan trak dengan sentuhan modifikasi tersendiri. Kedua-dua pertandingan menerima sambutan hangat dengan yuran penyertaan yang sangat berpatutan, menjadikan penyertaan lebih inklusif.

Tidak ketinggalan, Pameran Permotoran Extreme yang melibatkan pasukan tempatan seperti Team Rally Perlis, Team Drag Perlis, Team Cub Prix Perlis, Team 4×4 Perlis dan wakil SAU Perlis. Kehadiran mereka memberi peluang kepada orang ramai untuk lebih dekat dengan dunia sukan permotoran yang semakin mendapat tempat di hati belia.

Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, Majlis Belia Negeri Perlis, MAYC Negeri Perlis, para penyumbang hadiah, dan semua pasukan serta kelab permotoran yang menjayakan acara ini. Lepak Santai Permotoran Utara 2025 sekali lagi membuktikan bahawa platform permotoran mampu menyatukan belia dalam suasana yang sihat, santai dan penuh semangat kekitaan.