GAYAKEN

Bukan mudah untuk cuba mencari kelainan, lebih-lebih lagi jika ianya sebuah model popular seperti Myvi. Kalau sesekali turun mengeteh, rasanya bersepah sangat yang datang dengan rupa yang sama. Macam dah pakat pulak. Bezanya cuma terletak pada pemilihan kaler serta senarai aksesori yang digunakan.

Seraya dengan itu, penggiat tegar Myvi JDM mula mencari sesuatu yang boleh memberi kesan berbeza kepada jentera masing-masing. Tak perlu nak letak sayap bagai. Cukup dengan penggunaan kit badan mengikut katalog. Tentang harga dah jadi soal kedua. Apa yang penting, ia mampu tampil berbeza seperti yang dihajati.

Kelainan inilah yang cuba diterjemahkan Azwan ke atas kereta ini. Tak payah belek-belek, sekali tenung pun dah perasan kat mana bezanya. Paling ketara pemilihan kaler Desert Khaki, yang sebenarnya merupakan kaler OEM untuk model Subaru XV. Mari jugak, nampak jauh lebih lembut berbanding Nardo Grey yang tengah ngetop sekarang nih.

Perkara lain berkait dengan kit badan Passo 07 versi Kenstyle yang digunakan. Jarang-jarang boleh jumpa. Sedikit sentuhan gentian karbon turut dikenakan ke atas beberapa komponen kecil seperti pemegang pintu, penutup wiper, penutup minyak dan cermin sisi. Paling menduga akal pemasangan unit sunroof Toyota Harrier, yang boleh dibuka secara bertindih untuk melihat bulan di kala malam.

Asas bahagian dalam menggunakan komponen milik Passo 07 versi Tomato. Yer tomato, buah kaler merah yang kau guna dalam dalca tuh. Bila dapat kat mamat Jepon, boleh pulak diorang pikir nak buat tema kat model Passo. Perbezaan paling jelas terletak pada trim dashboard berwarna merah, karpet gambar tomato, selain tempat duduk dengan corak bintik-bintik.

Kehadiran komponen gentian karbon pada dashboard dan panel pintu, memberi aura kelainan yang diharapkan. Tengok gaya boleh tahan jugak modalnya. Rangkaian aksesori tambahan pun banyak jugak, macam stereng Momo Euro, cermin belakang dan pedal Tiffana House, sensor sisi, lampu, penghidup dan penggera automatik Passo, unit paparan Magician OBD dan Defi ZD, serta sistem audio lengkap Carrozzeria.

Bahagian roda menyaksikan penggunaan rim super pelik Wado Sakura keluaran R-Pride berukuran 17-inci, yang dibalut pada tayar Sportrak bersaiz 205/40R-17. Ni kalau tak cukup kental, kasi free pun tak berani nak pakai. Sistem gantungan dibantu set suspensi boleh laras dari Tein. Manakala kuasa hentian diserahkan kepada brek Honda Odyssey untuk depan, serta brek Honda Accord SM4 di ruang belakang.

Kereta ini memulakan hayatnya dengan enjin satupointkosong. Ya, model asas yang tak ramai minat nak beli tuh. Mujur ia sebuah kereta projek dan enjin tersebut segera digantikan dengan enjin 3SZ-VE yang digunakan pada model Toyota bB.  Seperti dijangka, tiada perubahan prestasi yang dilakukan kecuali tambahan kabel pembumi Hot Inazma Hyper, serta penapis dan ram udara aftermarket. Untuk sistem buangan, bahagian ekzos kini menempatkan ekstraktor dan paip ekzos kustom, sebelum diakhiri dengan tip ekzos rekaan Kenstyle.

Ketika Mega Gath KL 2017, kereta ini berjaya mencuri tumpuan apabila memenangi kategori Sunroof Terbaik dan Kenstyle 07 Terbaik. Tahun ni gimana, ada percabar ker?