FORM & FUNCTION

Sebahagian besar kaki kereta menganggap, campur aduk konsep pada sesebuah kereta itu adalah salah. Mana boleh pakai Mugen campur Spoon. Salah besar tuh. Kalau masuk mahkamah, mungkin boleh dikenakan hukuman sebat. Bagi sesetengah yang lain, mereka tidak punya masa untuk fikirkan semua itu. Lantaklah nak pakai konsep apa pun, janji nampak cantik dan kena di mata sendiri.

Syaq antara pemilik Integra yang tidak menetapkan sebarang konsep pada keretanya. Tak kisah mana pun pasal konsep. Apa yang lebih penting, setiap komponen berkenaan mampu berfungsi seperti yang diharapkan. Mungkin sebab dirinya tak into dengan dunia kereta mekap. Sebaliknya sedang giat berusaha, untuk menghasilkan sebuah mesin serangan masa yang serius.

Tengok aje bahagian luar. Dari sebuah model asas, ia telah dipadankan dengan komponen tambahan dari tuner berbeza. Ada lip depan Spoon, fender FRP Shift Sport, hood dan canard gentian karbon J’s Racing, skirt sisi Modulo, cermin sisi Ganador, selain spoiler GT dan lampu belakang aftermarket. Yang kustom bikin pun ada jugak, macam splitter depan, diffuser belakang, serta salur aliran udara pada bumper depan.

Selari dengan itu, bahagian roda menempatkan rim 17-inci jenis Enkei AME Tracer. Ia mungkin bukan pilihan yang popular, namur menawarkan saiz yang sesuai untuk dipadankan dengan tayar Hankook RS3 yang agak lebar. Untuk sistem hentian, ia kini dibantu kaliper brek Spoon Monoblock dengan rotor Dixcel SD 300mm di bahagian depan, termasuk penggunaan pad brek EBC Yellow Stuff dan hos brek Project MU.

Sektor pengendalian antara yang diberi keutamaan. Ia dimulakan dengan set suspensi Ohlins DFV yang agak premium, disusuli padanan bush Super Pro dan kit camber HardRace untuk depan dan belakang. Bagi memantopkan ketegaran casis, ia digalang dengan bar penstabil di bahagian tertentu seperti bar sturt Cusco, bar fender dan kokpit Ultra Racing, bar pilar Techno Pro Spirit, serta Bar traction HardRace.

Pemilihan nadi kuasa nampaknya semakin matang apabila enjin K-Series lebih diberi keutamaan. Ia dipermudahkan dengan kit cagak enjin Innovative Mounts khusus untuk tujuan ini. Pun begitu, enjin K20A milik Integra DC5R ini belum menerima peningkatan yang setara, kecuali tambahan plet baffle dari Blox Racing untuk memastikan jumlah minyak pelincir yang diperlukan sentiasa mencukupi.

Proses suapan udara dimulakan penapis udara Blitz, yang dirangkum pada kotak dan ram udara kustom. Ia kemudian dibawa ke throttle body Skunk2, yang diikat kemas pada manifold kemasukan RRC Civic FD2R. Sistem penyampaian bahan api bagaimanapun masih lagi standard, kecuali tambahan unit regulator Works Engineering. Sementara pelepasan sisa pembakaran pula dibuat menerusi padanan ekstraktor dengan paip ekzos kustom.

Bahagian dalam tidak kelihatan seperti mesin serangan masa. Kesemua komponen utama terus kekal di kedudukan asal, malah masih sesuai digunakan untuk keluar dating. Yang jadikan ia tampak lebih mewah adalah rangkaian aksesori yang digunakan, seperti tempat duduk Recaro RSG dengan harness Sabelt di bahagian pemandu, tempat duduk Recaro SPG untuk penumpang, stereng Momo Monte Carlo dengan hub Works Bell, serta tombol gear Arvou Heavyweight. Bantuan paparan tidak disemakkan dengan deretan meter tambahan, tapi hanya menggunakan unit paparan digital AIM MXS Strada. Bijak!

Dengan 225 kekuda pada roda depan, kereta ini berjaya mencatat masa terbaik 2 minit 36 saat ketika bersiar-siar di Litar Sepang. Itu tak abis tekan lagi. Kalau tekan sampai abis, mau berlubang lantai dibuatnya…