FORD RANGER EXTREME

Trak pikap dan utiliti sebenarnya telah lama popular di pasaran luar negara seperti Australia, Amerika Syarikat serta contoh terdekat, Thailand.

Antara faktor penyumbang popularitinya ialah ruang kargo yang luas dan penjimatan enjin diesel. Di Malaysia, trak pikap mulai popular pada awal tahun 2000 apabila undang-undang pendaftaran persendirian kenderaan tersebut dilonggarkan.

Sebelum itu, trak pikap macam Hilux, Mazda, Datsun dan Isuzu semua dah ada. Cuma pada masa itu, ia hanya didaftarkan untuk tujuan komersial.

Isuzu memperkenalkan Rodeo dan Ford tampil dengan Ranger. Kemudian bermulalah era perlumbaan trak urban macam Mitsubishi Storm, Nissan Frontier, Tata Telcoline, SsangYong dan macam-macam lagi.

Pertengahan tahun 2000-an pasaran trak pikap makin meriah dengan kehadiranD-Max, Triton, Navara dan model-model baru yang lebih urban oriented. Transmisinya kini sudah kurang melantun-lantun, malah kuasanya juga semakin mengujakan.

Kalau cakap pasal pikap, tetapi tak sebut Ranger mungkin boleh jatuh bangang jadinya. Ranger mungkin tak sepopular Hilux. Namun Ranger jugalah yang menjadikan trak lebih unik dengan pelbagai versi.

Saya rasa, kalau bukan kerana Ranger, pengeluar lain mungkin tak berapa fokus untuk menjadikan trak pikap versi untuk jalanan. Jangan cakap zaman sekarang, sejak dulu lagi sudah ada model Ranger yang datang dengan beberapa versi seperti Extreme, Splash yang mana cab belakangnya datang dengan boot lid dari kilang. Bodykitnya nampak garang, lampu projektor dan ada warna kuning pula tu.

Versi asal Extreme ini mungkin yang paling sporty dalam kalangan trak pikap sekelasnya. Trak pikap ini milik Sharil yang cuba untuk tampil berbeza daripada kawan-kawannya yang main kereta.

Enjin diesel model ini telahpun mengadaptasi teknologi bahan bakar bersih yang dikenali sebagai green engine. Tidaklah canggih macam VNT/VGT model trak pikap baharu. Torknya juga tidak macam enjin diesel generasi baharu.

Tidak banyak modifikasi yang boleh dibuat pada enjin ini. Jadi apa yang telah dilakukan lebih bersifat kosmetik seperti paip stainless steel dan penapis udara HKS honey comb. Paip intercooler disambungkan terus dengan sebuah intercooler custom yang diletakkan di bampar depan.

Kalau main trak pikap, kelajuan bukan menjadi kriteria utama. Untuk trak pikap, ada dua cara modifikasi iaitu rendahkan jadi macam kereta atau tinggikan macam jentera bigfoot. Secara jujurnya, saya tak suka rendahkan trak pikap, tinggi lagi bagus.

Ranger ini dipasangkan dengan shackle belakang untuk meninggikan dedaun springnya. Perentap absorber hadapan dinaikkan untuk mendapatkan bodylift setingi dua inci dari asal. Apabila dah tinggi, absorber lebih keras diperlukan. Di sinilah absorber Greber dipasang untuk menggantikan absorber asal yang memang lemau.

Apabila dah tinggi, pasang rim pula. Sekali lagi, ada dua cara, pasang rim sebesar mungkin, semuat mungkin dalam arch atau rim maksima 16 inci dengan tayar paling besar. Pemilik Ranger ini memilih tradisi jentera 4X4 dengan rim 15 inci X 10 Raguna dengan tayar 32 inci X 11.5 yang cukup besar. Secara automatik, trak pikap nampak gagah perkasa.

Ubah suai yang begini ringkas pun sudah berjaya mengubah trak pikap ini nampak macam raksasa. Sekali lagi saya cuba pandang dari sudut kereta. Tetapi tak berjaya sebab Ranger Extreme banyak dibantu oleh bodykit yang kemas dan rugged. Pendek kata, memang berbaloi kalau ada Ranger pekak dan pasang dengan bodykit Extreme (atau Splash).

Kenaikan harga petrol yang sering berlaku mungkin buatkan ramai orang terbeban. Namun, tak ramai yang cuba beralih kepada enjin diesel. Selain jimat, enjin diesel memang terkenal dengan kelasakannya.

Kalau pandu trak pikap, berapa banyak barang boleh dibawa balik kampung? Setakat jam sikit-sikit boleh panjat divider. Kalau hujan atau banjir kilat, kita orang senyum sahaja. Kalau nak rasa kelainan, boleh beli trak pikap macam ni yang harganya pun dah tak mahal mana.

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ